Pengiklanan

Pengiklanan memastikan Google, laman-laman web dan perkhidmatan yang disediakan itu percuma untuk anda gunakan. Kami gigih berusaha untuk memastikan iklan yang dipaparkan itu selamat, tidak mencolok mata dan serelevan yang mungkin. Sebagai contoh, anda tidak akan melihat iklan pop timbul di Google dan kami menamatkan akaun ratusan ribu penerbit dan pengiklan yang melanggar dasar kami setiap tahun - termasuk iklan yang mengandungi perisian hasad, iklan untuk barangan tiruan atau yang cuba menyalahgunakan maklumat peribadi anda.

Perkhidmatan pengiklanan Google sedang bereksperimen dengan cara baharu untuk menyokong penyampaian dan pengukuran pengiklanan digital melalui cara yang lebih berkesan dalam melindungi privasi orang ramai dalam talian melalui inisiatif Privacy Sandbox pada Chrome dan Android. Pengguna yang telah mendayakan tetapan Privacy Sandbox yang berkaitan dalam Chrome atau Android mungkin melihat iklan berkaitan daripada perkhidmatan pengiklanan Google berdasarkan data Topik atau Khalayak Dilindungi yang disimpan pada penyemak imbas atau peranti mudah alih mereka. Perkhidmatan pengiklanan Google juga mungkin mengukur prestasi iklan menggunakan data Pelaporan Atribusi yang disimpan pada penyemak imbas atau peranti mudah alih mereka. Maklumat lanjut tentang Privacy Sandbox.

Cara Google menggunakan kuki dalam pengiklanan

Kuki membantu untuk membuat pengiklanan lebih berkesan. Tanpa kuki, lebih sukar untuk pengiklan mencapai sasarannya atau untuk mengetahui berapa banyak iklan ditunjukkan dan berapa banyak klik yang mereka terima.

Banyak laman web, seperti tapak dan blog berita, bekerjasama dengan Google untuk memaparkan iklan kepada pelawat mereka. Semasa bekerjasama dengan rakan kongsi kami, kami mungkin menggunakan kuki untuk beberapa tujuan, seperti untuk menghindarkan anda daripada melihat iklan yang sama berulang-ulang kali, untuk mengesan dan menghentikan penipuan klik dan untuk memaparkan iklan yang cenderung untuk menjadi lebih berkaitan (seperti iklan berdasarkan laman web yang anda telah lawati).

Kami menyimpan rekod iklan yang kami sediakan dalam log kami. Log pelayan ini biasanya merangkumi permintaan web anda, alamat IP, jenis penyemak imbas, bahasa penyemak imbas, tarikh dan masa permintaan anda dan satu atau lebih banyak kuki yang boleh mengenal pasti penyemak imbas anda secara unik. Kami menyimpan data ini atas beberapa sebab, sebab yang paling penting ialah untuk meningkatkan perkhidmatan kami dan untuk mengekalkan keselamatan sistem kami. Kami menjadikan data log ini awanama dengan mengeluarkan sebahagian daripada alamat IP (selepas 9 bulan) dan maklumat kuki (selepas 18 bulan).

Kuki pengiklanan kami

Untuk membantu rakan kongsi kami mengurus pengiklanan dan tapak web mereka, kami menawarkan pelbagai produk, termasuk AdSense, AdWords, Google Analitis dan pelbagai perkhidmatan berjenama DoubleClick. Apabila anda melawati halaman atau melihat iklan yang menggunakan salah satu produk ini pada perkhidmatan Google atau pada tapak dan apl lain, beberapa jenis kuki mungkin dihantar ke penyemak imbas anda.

Kuki mungkin ditetapkan daripada beberapa domain yang berlainan, termasuk google.com, doubleclick.net, googlesyndication.com atau googleadservices.com atau domain tapak rakan kongsi kami. Sesetengah produk pengiklanan kami membolehkan rakan kongsi kami menggunakan perkhidmatan lain bersama-sama dengan perkhidmatan kami (seperti perkhidmatan pengukuran dan pelaporan iklan) dan perkhidmatan ini mungkin menghantar kukinya sendiri kepada penyemak imbas anda. Kuki ini akan ditetapkan daripada domainnya.

Lihat butiran lanjut tentang jenis kuki yang digunakan oleh Google dan rakan kongsi kami serta cara kami menggunakannya.

Cara anda boleh mengawal kuki pengiklanan

Anda boleh menggunakan tetapan iklan untuk mengurus iklan Google yang anda lihat dan mematikan iklan diperibadikan. Walaupun anda mematikan iklan diperibadikan, anda mungkin masih melihat iklan berdasarkan faktor seperti lokasi umum anda yang diperoleh daripada alamat IP anda, jenis penyemak imbas dan istilah carian anda.

Anda juga boleh mengurus kuki banyak syarikat yang digunakan untuk pengiklanan dalam talian melalui alatan pilihan pengguna yang dibuat di bawah program swaaturan di banyak negara, seperti halaman aboutads.info choices yang berpusat di Amerika Syarikat atau Your Online Choices yang berpusat di EU.

Akhir sekali, anda boleh mengurus kuki dalam penyemak imbas web anda.

Teknologi lain yang digunakan dalam pengiklanan

Sistem pengiklanan Google mungkin menggunakan teknologi lain, termasuk Flash dan HTML5, untuk fungsi seperti paparan format iklan interaktif. Kami mungkin menggunakan alamat IP, contohnya, untuk mengenal pasti lokasi am anda. Kami juga boleh memilih pengiklanan berdasarkan maklumat mengenai komputer atau peranti anda, seperti model peranti anda, jenis penyemak imbas atau sensor dalam peranti anda seperti meter pecutan.

Lokasi

Produk iklan Google mungkin menerima maklumat atau membuat kesimpulan tentang lokasi anda daripada pelbagai sumber. Contohnya, kami mungkin menggunakan alamat IP untuk mengenal pasti lokasi umum anda; kami mungkin menerima lokasi yang tepat daripada peranti mudah alih anda; kami mungkin membuat kesimpulan mengenai lokasi anda daripada pertanyaan carian anda; dan tapak web atau apl yang anda gunakan mungkin menghantar maklumat tentang lokasi anda kepada kami. Google menggunakan maklumat lokasi dalam produk iklan kami untuk membuat kesimpulan tentang maklumat demografi, untuk menambah baik perkaitan iklan yang anda lihat, untuk mengukur prestasi iklan dan untuk melaporkan perangkaan agregat kepada pengiklan.

Pengecam pengiklanan untuk apl mudah alih

Untuk menyediakan iklan dalam perkhidmatan yang tidak tersedia dengan teknologi kuki (contohnya, dalam aplikasi mudah alih), kami boleh menggunakan teknologi yang melaksanakan fungsi yang serupa seperti kuki. Kadangkala Google mengaitkan pengecam yang digunakan untuk pengiklanan pada aplikasi mudah alih kepada kuki pengiklanan pada peranti yang sama untuk menyelaras iklan merentas apl mudah alih dan penyemak imbas mudah alih anda. Perkara ini boleh berlaku, contohnya apabila anda melihat iklan dalam apl yang melancarkan halaman web dalam penyemak imbas mudah alih anda. Selain itu, proses tersebut membantu kami mempertingkat laporan yang kami berikan kepada pengiklan tentang keberkesanan kempen mereka.

Iklan yang anda lihat pada peranti anda mungkin diperibadikan berdasarkan ID Pengiklanan peranti tersebut. Pada peranti Android, anda boleh:

  • Menetapkan semula ID pengiklanan peranti anda, yang menggantikan ID semasa dengan yang baharu. Apl masih boleh menunjukkan iklan diperibadikan kepada anda tetapi untuk satu tempoh masa yang singkat, iklan itu mungkin tidak begitu berkaitan atau menarik kepada anda.
  • Memadamkan ID pengiklanan peranti anda, yang memadamkan ID pengiklanan namun tidak memberikan ID pengiklanan yang baharu. Apl masih boleh menunjukkan iklan kepada anda tetapi iklan itu mungkin tidak begitu berkaitan atau menarik kepada anda. Anda tidak akan melihat iklan berdasarkan ID pengiklanan ini tetapi anda masih boleh melihat iklan berdasarkan faktor lain, seperti maklumat yang telah anda kongsi dengan apl.

Untuk membuat perubahan pada ID pengiklanan pada peranti Android anda, ikut arahan di bawah.

Android

Menetapkan semula ID pengiklanan peranti anda

Untuk menetapkan semula ID pengiklanan peranti anda:

  1. Pergi ke Tetapan pada peranti Android anda.
  2. Ketik Privasi > Iklan.
  3. Ketik Tetapkan semula ID pengiklanan dan sahkan perubahan anda.
Memadamkan ID pengiklanan peranti anda

Untuk memadamkan ID pengiklanan peranti anda:

  1. Pergi ke Tetapan pada peranti Android anda.
  2. Ketik Privasi > Iklan.
  3. Ketik Padamkan ID pengiklanan dan sahkan perubahan anda.

ID pengiklanan anda akan ditetapkan semula atau dipadamkan tetapi apl anda mungkin mempunyai tetapan sendiri menggunakan jenis pengecam lain, yang boleh juga mempengaruhi jenis iklan yang anda lihat.

Pada sesetengah versi Android yang lebih lama

Jika versi peranti Android anda ialah 4.4 atau lebih lama:

  1. Buka Tetapan
  2. Ketik Privasi > Terperinci > Iklan
  3. Hidupkan Tarik diri daripada Pemeribadian Iklan dan sahkan perubahan anda.

iOS

Peranti yang menjalankan iOS menggunakan Pengecam Pengiklanan Apple. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang pilihan anda tentang penggunaan pengecam ini, lawati apl Tetapan pada peranti anda.

TV yang Disambungkan/Over-the-Top

Pengecam pengiklanan untuk TV yang disambungkan

TV yang disambungkan ialah bahagian lain yang tidak tersedia dengan teknologi kuki. Sebaliknya, Google bergantung pada pengecam pada peranti yang direka bentuk untuk digunakan dalam pengiklanan bagi menyiarkan iklan. Banyak peranti TV yang disambungkan menyokong pengecam untuk pengiklanan yang serupa fungsinya dengan pengecam peranti mudah alih. Pengecam ini dibina untuk memberi pengguna pilihan untuk menetapkan semula atau menarik diri daripada pengiklanan diperibadikan, sepenuhnya.

Tetapan “Iklan” berikut tersedia pada TV yang menggunakan bahasa tekal yang berikut:

  • Menetapkan semula ID pengiklanan
  • Memadamkan ID pengiklanan
  • Menarik diri daripada Pemeribadian Iklan (hidupkan atau matikan)
  • Iklan oleh Google (memaut pada pemeribadian iklan Perihal Google)
  • ID pengiklanan anda (rentetan panjang)

Tetapan Iklan ini tersedia dalam laluan yang berikut pada Google TV dan Android TV masing-masing.

Google TV

Laluan tekal ke Iklan:

  1. Tetapan
  2. Privasi
  3. Iklan

Android TV

Tetapan iklan ditunjukkan dalam satu daripada dua laluan umum untuk Android TV, bergantung pada pengilang/model TV. Dalam Android TV, rakan kongsi bebas menyesuaikan laluan Tetapan. Terpulang kepada rakan kongsi untuk menentukan laluan yang digunakan supaya sesuai dengan pengalaman TV tersuai mereka. Di bawah ialah laluan lazim kepada tetapan Iklan.

Laluan A:

  1. Tetapan
  2. Perihal
  3. Maklumat Undang-undang
  4. Iklan

Laluan B:

  1. Tetapan
  2. Pilihan Peranti
  3. Perihal
  4. Maklumat Undang-undang
  5. Iklan
Peranti Bukan Google

Banyak peranti TV yang disambungkan menyokong pengecam untuk pengiklanan dan menawarkan cara pengguna boleh log keluar daripada pengiklanan diperibadikan. Senarai penuh peranti itu dan cara pengguna boleh menarik diri sentiasa dikemaskinikan pada laman web Network Advertising Initiative di sini: https://thenai.org/opt-out/connected-tv-choices/.

Apakah yang menentukan iklan oleh Google yang saya lihat?

Banyak keputusan dibuat untuk menentukan iklan yang anda lihat.

Kadangkala iklan yang anda lihat adalah berdasarkan lokasi semasa atau lokasi masa lalu anda. Alamat IP anda biasanya menjadi petunjuk yang baik bagi lokasi anggaran anda. Jadi, anda mungkin melihat iklan pada halaman utama YouTube.com yang mempromosikan filem akan datang di negara anda atau carian 'piza' mungkin mengembalikan hasil kedai piza di bandar anda.

Kadangkala iklan yang anda lihat ditentukan berdasarkan konteks halaman. Jika anda sedang melihat halaman petua berkebun, anda mungkin melihat iklan untuk peralatan berkebun.

Adakalanya anda mungkin turut melihat iklan di web yang berdasarkan aktiviti apl anda atau aktiviti pada perkhidmatan Google; iklan dalam apl yang berdasarkan aktiviti web anda; atau iklan berdasarkan aktiviti anda pada peranti lain.

Kadangkala iklan yang anda lihat pada suatu halaman disampaikan oleh Google tetapi dipilih oleh syarikat lain. Contohnya, anda mungkin telah mendaftar dengan tapak web sebuah akhbar. Syarikat tersebut boleh membuat keputusan mengenai iklan yang disiarkan kepada anda berdasarkan maklumat yang telah diberikan kepada akhbar itu dan boleh menggunakan produk penyediaan iklan Google untuk menyampaikan iklan tersebut.

Anda mungkin juga melihat iklan pada produk dan perkhidmatan Google, termasuk Carian, Gmail dan YouTube, berdasarkan maklumat, seperti alamat e-mel anda, yang anda berikan kepada pengiklan dan kemudian pengiklan itu berkongsi maklumat tersebut dengan Google.

Mengapa saya melihat iklan oleh Google untuk produk yang telah saya lihat?

Anda mungkin melihat iklan untuk produk anda lihat sebelum ini. Andai kata anda melawati tapak web yang menjual kayu golf, tetapi anda tidak membeli kayu golf tersebut pada lawatan pertama anda. Pemilik tapak web tersebut mungkin mahu menggalakkan anda kembali dan melengkapkan pembelian anda. Google menawarkan perkhidmatan yang membolehkan pengendali tapak web menyasarkan iklan mereka kepada orang yang melawati halaman mereka.

Untuk membolehkan ciri ini berfungsi, Google membaca kuki yang terdapat dalam penyemak imbas anda ataupun meletakkan kuki dalam penyemak imbas anda apabila anda melawati tapak sukan golf, (dengan mengandaikan bahawa penyemak imbas anda membenarkan perkara ini berlaku).

Apabila anda melawati tapak web lain yang berfungsi menggunakan Google, yang mungkin tiada kaitan dengan golf, anda mungkin melihat iklan untuk kayu golf tersebut. Hal ini berlaku kerana penyemak imbas anda menghantar kuki yang sama kepada Google. Kami pula mungkin menggunakan kuki tersebut untuk menyediakan anda iklan yang mungkin menggalakkan anda membeli kayu golf itu.

Lawatan anda ke tapak golf juga boleh digunakan oleh Google untuk memaparkan iklan yang diperibadikan kepada anda apabila anda mencari kayu golf di Google kelak.

Kami meletakkan sekatan terhadap jenis iklan ini. Contohnya, kami melarang pengiklan daripada memilih khalayak berdasarkan maklumat sensitif, seperti maklumat kesihatan atau kepercayaan agama.

Ketahui lebih lanjut mengenai iklan Google.

Apl Google
Menu utama