Cara Google menggunakan pengecaman pola

Cara Google menggunakan pengecamanan pola untuk memahami imej

Komputer tidak "melihat" foto dan video sepertimana manusia. Apabila anda melihat foto, anda mungkin melihat rakan karib anda berdiri di hadapan rumahnya. Dari perspektif komputer, imej yang sama hanyalah sekumpulan data yang boleh ditafsirkan sebagai bentuk dan maklumat mengenai nilai warna. Walaupun komputer tidak akan bertindak balas seperti anda apabila anda melihat gambar tersebut, komputer boleh dilatih untuk mengecam corak warna dan bentuk tertentu. Sebagai contoh, komputer mungkin dilatih untuk mengecam corak bentuk dan warna biasa yang membentuk imej digital landskap seperti pantai atau objek seperti kereta. Teknologi ini membantu Google Photos menyusun foto anda dan membolehkan pengguna mencari apa sahaja foto dengan carian mudah.

Komputer juga mungkin dilatih untuk mengecam corak bentuk dan warna lazim yang membentuk imej digital wajah. Proses ini dikenali sebagai pengesanan wajah dan merupakan teknologi yang membantu Google melindungi privasi anda pada perkhidmatan seperti Street View, yang melibatkan komputer yang cuba mengesan dan kemudian mengaburkan wajah mana-mana orang yang mungkin berada di jalan raya semasa kereta Street View lalu.

Jika anda menggunakan teknologi yang lebih maju, teknologi pengecaman corak yang sama yang memperkasakan pengesanan wajah boleh membantu komputer memahami ciri wajah yang telah dikesannya. Sebagai contoh, mungkin terdapat corak tertentu yang menandakan wajah itu tersenyum atau mata tertutup. Maklumat seperti ini boleh digunakan untuk membantu ciri seperti cadangan filem Google Photos dan kesan lain yang dibuat daripada foto dan video anda.

Teknologi serupa juga memperkasakan ciri pengumpulan wajah yang tersedia di Google Photos di beberapa buah negara tertentu, yang membantu komputer mengesan wajah yang serupa dan mengumpulkannya bersama-sama, lantas memudahkan pengguna mencari dan mengurus foto mereka. Baca lebih lanjut tentang pengumpulan wajah di Pusat Bantuan Google Photos.

Cara Carian Suara berfungsi

Carian Suara membolehkan anda untuk memberikan pertanyaan suara kepada aplikasi pelanggan carian Google pada peranti dan bukannya menaip pertanyaan tersebut. Carian Suara menggunakan pengecaman pola untuk mentranskripsikan perkataan yang disebut kepada teks bertulis. Kami menghantar sebutan kepada pelayan Google untuk mengecam perkara yang anda sebutkan.

Untuk setiap pertanyaan suara yang dibuat pada Carian Suara, kami menyimpan bahasa, negara dan tekaan sistem kami tentang perkara yang disebutkan. Kami menyimpan sebutan untuk meningkatkan perkhidmatan kami, termasuk untuk melatih sistem mengecam pertanyaan carian yang betul dengan lebih baik jika anda telah memberikan persetujuan terhadap penggunaan data sedemikian. Kami tidak menghantar sebarang sebutan kepada Google melainkan anda telah menyatakan niat untuk menggunakan fungsi Carian Suara (misalnya, menekan ikon mikrofon dalam bar carian pantas atau pada papan kekunci maya atau menyebut "Google" apabila bar carian pantas menunjukkan yang fungsi Carian Suara tersedia).