Syarat Perkhidmatan Google
Berkuat kuasa 22 Mei 2024 | Versi-versi arkib | Muat turun PDF
Versi negara: Amerika Syarikat
Perkara yang diliputi dalam syarat ini
Kami tahu anda mungkin mahu melangkau Syarat Perkhidmatan ini, tetapi penting untuk memastikan perkara yang boleh anda harapkan daripada kami semasa anda menggunakan perkhidmatan Google dan perkara yang kami harapkan daripada anda.
Syarat Perkhidmatan ini menggambarkan cara perniagaan Google berfungsi, undang-undang yang terpakai kepada syarikat kami, dan perkara tertentu yang kami sentiasa percaya adalah benar. Hasilnya, Syarat Perkhidmatan ini membantu kami mentakrifkan hubungan Google dengan anda semasa anda berinteraksi dengan perkhidmatan kami. Sebagai contoh, syarat ini merangkumi tajuk topik yang berikut:
- Perkara yang boleh anda harapkan daripada kami, yang menjelaskan cara kami menyediakan dan membangunkan perkhidmatan kami
- Perkara yang kami harapkan daripada anda, yang menetapkan peraturan tertentu tentang penggunaan perkhidmatan kami
- Kandungan dalam perkhidmatan Google, yang menerangkan hak harta intelek terhadap kandungan yang anda jumpai dalam perkhidmatan kami — sama ada kandungan itu milik anda, Google, atau orang lain
- Sekiranya timbul masalah atau perselisihan, yang menerangkan hak perundangan lain yang anda miliki, dan perkara yang boleh dijangkakan sekiranya seseorang melanggar syarat ini
Syarat ini penting difahami kerana, dengan mengakses atau menggunakan perkhidmatan kami (sama ada anda log masuk ke Google Account atau tidak), maksudnya anda bersetuju untuk menerima syarat ini.
Selain syarat ini, kami juga menerbitkan Dasar Privasi. Kami menggalakkan anda membaca Dasar Privasi ini untuk memahami dengan lebih baik cara anda boleh mengemas kini, mengurus, mengeksport dan memadamkan maklumat anda.
Syarat
Penyedia perkhidmatan
Perkhidmatan Google disediakan oleh, dan anda mengikat kontrak dengan:
Google LLC
diatur menurut undang-undang Negeri Delaware, Amerika Syarikat, dan beroperasi di bawah undang-undang Amerika Syarikat
1600 Amphitheatre Parkway
Mountain View, California 94043
AS
Syarat umur
Jika umur anda kurang daripada syarat umur untuk mengurus Google Account anda sendiri, anda mesti mendapat kebenaran ibu/bapa atau penjaga anda yang sah untuk menggunakan Google Account. Sila minta ibu/bapa atau penjaga anda yang sah membaca syarat ini bersama anda.
Jika anda seorang ibu bapa atau penjaga yang sah, dan anda membenarkan anak anda menggunakan perkhidmatan, maka syarat ini terpakai kepada anda dan anda bertanggungjawab terhadap aktiviti anak anda pada perkhidmatan.
Sesetengah perkhidmatan Google mempunyai syarat umur tambahan seperti yang diterangkan dalam syarat dan dasar tambahan khusus perkhidmatan.
Hubungan anda dengan Google
Syarat ini membantu untuk mentakrifkan hubungan antara anda dengan Google. Apabila kami menyebut “Google”, “kami”. dan “kita”, kami maksudkan Google LLC dan anggota gabungannya. Secara umumnya, kami memberi anda kebenaran untuk mengakses dan menggunakan perkhidmatan kami jika anda bersetuju mengikut syarat ini, yang menggambarkan cara perniagaan Google berfungsi dan cara kami menjana pendapatan.
Perkara yang boleh anda harapkan daripada kami
Menyediakan bermacam-macam perkhidmatan yang berguna
- apl dan laman (seperti Search dan Maps)
- platform (seperti Google Shopping)
- perkhidmatan bersepadu (seperti Maps yang dibenamkan dalam apl atau laman syarikat lain)
- peranti (seperti Google Nest dan Pixel)
Kebanyakan perkhidmatan ini juga termasuk kandungan yang boleh anda strim atau berinteraksi.
Perkhidmatan kami direka untuk berfungsi bersama-sama, dan ini memudahkan lagi anda untuk beralih daripada satu aktiviti kepada aktiviti yang seterusnya. Contohnya, jika acara Calendar anda termasuk alamat, anda boleh mengklik alamat itu dan Maps dapat menunjukkan arah ke sana.
Membangunkan, meningkatkan dan mengemas kini perkhidmatan Google
Kami sentiasa membangunkan teknologi dan ciri baharu untuk memperbaik perkhidmatan kami. Contohnya, kami menggunakan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin untuk memberi anda terjemahan serentak dan untuk mengesan serta menyekat spam dan perisian hasad dengan lebih baik lagi. Sebagai sebahagian daripada penambahbaikan berterusan ini, kadangkala kami menambahkan atau mengalih keluar ciri dan fungsi, meningkatkan atau mengurangkan had kepada perkhidmatan kami, dan mula menawarkan perkhidmatan baharu atau berhenti menawarkan perkhidmatan lama. Apabila suatu perkhidmatan memerlukan atau menyertakan perisian yang boleh dimuat turun atau dipramuat, kadangkala perisian itu dikemaskinikan secara automatik pada peranti anda sebaik sahaja versi atau ciri baharu tersedia. Sesetengah perkhidmatan membenarkan anda melaraskan tetapan kemaskinian automatik anda.
Jika kami membuat perubahan penting yang memberikan kesan negatif kepada penggunaan perkhidmatan kami atau jika kami berhenti menawarkan perkhidmatan, kami akan memberi anda notis awal yang munasabah, kecuali dalam situasi mendesak seperti menghalang penyalahgunaan, bertindak balas terhadap keperluan undang-undang atau menangani isu keselamatan dan kebolehkendalian. Kami juga akan memberikan peluang kepada anda untuk mengeksport kandungan anda daripada Google Account anda menggunakan Google Takeout, tertakluk pada undang-undang dan dasar yang berkenaan.
Perkara yang kami jangkakan daripada anda
Patuhi syarat ini dan syarat tambahan khusus perkhidmatan
- syarat ini
- syarat tambahan khusus perkhidmatan, yang mungkin, contohnya, merangkumi perkara seperti syarat umur tambahan
Anda juga bersetuju bahawa Dasar Privasi kami terpakai kepada penggunaan anda dalam perkhidmatan kami. Kami juga menyediakan sumber seperti Pusat Bantuan Hak Cipta, Pusat Keselamatan, Pusat Ketelusan dan perihalan teknologi kami daripada laman dasar kami untuk menjawab soalan lazim dan menetapkan jangkaan tentang penggunaan perkhidmatan kami. Akhir sekali, kami mungkin memberikan arahan dan amaran khusus dalam perkhidmatan kami – seperti kotak dialog yang memaklumi anda tentang maklumat penting.
Walaupun kami memberi anda kebenaran untuk menggunakan perkhidmatan kami, kami mengekalkan sebarang hak harta intelektual yang kami miliki dalam perkhidmatan tersebut.
Hormati orang lain
- mematuhi undang-undang yang bersesuaian, termasuk undang-undang kawalan eksport, sekatan, dan pemerdagangan manusia
- menghormati hak orang lain, termasuk privasi dan hak harta intelek
- tidak mencederakan atau membahayakan orang lain atau diri anda (atau mengancam atau menggalakkan kecederaan atau bahaya sedemikian) — contohnya, dengan memperdaya, menipu, menyamar dengan cara yang tidak sah, memfitnah, membuli, mengganggu, atau ugutan berterusan terhadap orang lain
Syarat dan dasar tambahan khusus perkhidmatan kami, seperti Dasar Penggunaan AI Generatif Yang Dilarang kami, memberikan butiran tambahan tentang tingkah laku yang sesuai dan semua orang yang menggunakan perkhidmatan itu perlu mematuhi butiran tambahan tersebut. Jika anda mendapati orang lain tidak mematuhi peraturan ini, banyak perkhidmatan kami membenarkan anda melaporkan penyalahgunaan. Jika kami bertindak terhadap laporan penyalahgunaan, kami juga menyediakan proses seperti yang diterangkan dalam seksyen Mengambil tindakan sekiranya berlaku masalah.
Jangan menyalahgunakan perkhidmatan kami
Kebanyakan pengguna yang mengakses atau menggunakan perkhidmatan kami memahami peraturan umum yang memastikan Internet selamat dan terbuka. Dukacita dimaklumkan, sebilangan kecil pengguna tidak menghormati peraturan tersebut, oleh hal yang demikian kami menjelaskan peraturan itu di sini untuk melindungi perkhidmatan dan pengguna kami daripada penyalahgunaan. Dengan semangat itu:
Anda tidak boleh menyalahgunakan, membahayakan, mengganggu, atau menjejaskan perkhidmatan atau sistem kami — contohnya, dengan:- memperkenalkan perisian hasad
- menghantar spam, menggodam atau memintas sistem atau langkah perlindungan kami
- memecah sekat, gesaan berniat jahat, atau suntikan gesaan, kecuali sebagai sebahagian daripada program ujian keselamatan dan pepijat kami
- mengakses atau menggunakan perkhidmatan atau kandungan kami dengan cara yang menipu atau memperdaya, seperti:
- pancingan data
- membuat akaun atau kandungan palsu, termasuk ulasan palsu
- mengelirukan orang lain untuk berfikir bahawa kandungan AI generatif dibuat oleh manusia
- menyediakan perkhidmatan yang kelihatan seperti berasal daripada anda (atau orang lain) sedangkan perkhidmatan itu sebenarnya berasal daripada kami
- menyediakan perkhidmatan yang kelihatan seperti berasal daripada kami sedangkan perkhidmatan itu tidak berasal daripada kami
- menggunakan perkhidmatan kami (termasuk kandungan yang mereka sediakan) untuk melanggar hak undang-undang sesiapa sahaja, seperti harta intelek atau hak privasi
- melakukan kejuruteraan balikan terhadap perkhidmatan atau teknologi asas kami, seperti model pembelajaran mesin kami, untuk mengekstrak rahsia perdagangan atau maklumat proprietari lain, kecuali yang dibenarkan oleh undang-undang yang bersesuaian
- menggunakan cara automatik untuk mengakses kandungan daripada mana-mana perkhidmatan kami yang melanggar arahan yang boleh dibaca mesin pada halaman web kami (contohnya, fail robots.txt yang tidak membenarkan rangkak, latihan atau aktiviti lain)
- menggunakan kandungan dijana AI daripada perkhidmatan kami untuk membangunkan model pembelajaran mesin atau teknologi yang berkaitan dengan AI
- menyembunyikan atau memberikan salah nyataan tentang diri anda untuk tujuan melanggar syarat ini
- menyediakan perkhidmatan yang menggalakkan orang lain melanggar syarat ini
Kebenaran untuk menggunakan kandungan anda
Sesetengah perkhidmatan kami direka untuk membolehkan anda memuat naik, menyerahkan, menyimpan, menghantar, menerima atau berkongsi kandungan anda. Anda tiada kewajipan untuk menyediakan sebarang kandungan untuk perkhidmatan kami dan anda bebas untuk memilih kandungan yang mahu disediakan. Jika anda memilih untuk memuat naik atau berkongsi kandungan, sila pastikan anda memiliki hak yang sewajarnya untuk berbuat demikian dan memastikan kandungan tersebut sah di sisi undang-undang.
Lesen
Kandungan anda tetap menjadi milik anda, yang bermakna anda mengekalkan sebarang hak harta intelek yang anda miliki dalam kandungan anda. Sebagai contoh, anda mempunyai hak harta intelek dalam kandungan kreatif yang anda buat, seperti ulasan yang anda tulis. Atau anda mungkin mempunyai hak untuk berkongsi kandungan kreatif orang lain jika mereka telah memberikan kebenaran kepada anda.
Kami memerlukan kebenaran anda jika hak harta intelektual anda menyekat kami daripada menggunakan kandungan anda. Anda memberikan kebenaran tersebut kepada Google melalui lesen ini.
Perkara yang diliputi
Lesen ini meliputi kandungan anda jika kandungan itu dilindungi oleh hak harta intelek.
Perkara yang tidak dilindungi
- Lesen ini tidak memberi kesan terhadap hak privasi anda — hanya memberi kesan terhadap hak harta intelektual anda
- Lesen ini tidak meliputi jenis kandungan berikut:
- maklumat fakta yang tersedia kepada umum yang anda berikan, seperti pembetulan alamat perniagaan setempat. Maklumat itu tidak memerlukan lesen kerana dianggap pengetahuan umum yang boleh digunakan dengan bebas oleh orang ramai.
- maklum balas yang anda tawarkan, seperti cadangan untuk memperbaik perkhidmatan kami. Maklum balas dibincangkan dalam bahagian Komunikasi berkaitan perkhidmatan di bawah.
Skop
- seluruh dunia, yang bermakna lesen ini sah di mana-mana di dunia
- bukan eksklusif, yang bermakna anda boleh melesenkan kandungan anda kepada orang lain
- secara bebas royalti, yang bermakna tidak ada yuran dalam bentuk wang bagi lesen ini.
Hak
Lesen ini membenarkan Google untuk:
- mengehos, menghasilkan semula, menyampaikan dan menggunakan kandungan anda — contohnya, untuk menyimpan kandungan anda pada sistem kami dan menjadikan kandungan tersebut boleh diakses dari mana-mana sahaja tempat yang anda lawati
- menerbitkan, melaksanakan secara terbuka, atau memaparkan kandungan anda kepada umum, jika anda telah menjadikan kandungan itu dapat dilihat oleh orang lain
- mengubah suai dan membuat kerja terbitan berdasarkan kandungan anda, seperti memformatkan semula atau menterjemah
- mensublesenkan hak ini untuk:
- pengguna lain untuk membenarkan perkhidmatan berfungsi seperti yang direka, seperti membolehkan anda berkongsi foto dengan orang yang anda pilih
- kontraktor kami yang telah menandatangani perjanjian dengan kami yang tekal dengan syarat ini, hanya untuk tujuan terhad yang dijelaskan dalam bahagian Tujuan di bawah
Tujuan
Lesen ini adalah untuk tujuan terhad:
- mengendalikan dan memperbaik perkhidmatan, yang bermakna membenarkan perkhidmatan berfungsi seperti yang direka dan mencipta ciri serta fungsi baharu. Perkara ini termasuk menggunakan sistem dan algoritma automatik untuk menganalisis kandungan anda:
- untuk spam, perisian hasad dan kandungan haram
- untuk mengecam corak dalam data, seperti menentukan masa untuk mengesyorkan album baharu dalam Google Photos untuk menyimpan foto yang berkaitan dalam satu himpunan
- untuk menyesuaikan perkhidmatan kami untuk anda, seperti menyediakan pengesyoran dan hasil carian, kandungan serta iklan yang diperibadikan (yang boleh anda ubah atau matikan dalam Tetapan Iklan)
- menggunakan kandungan yang telah anda kongsi kepada umum untuk mempromosikan perkhidmatan. Sebagai contoh, untuk mempromosikan apl Google, kami mungkin memetik ulasan yang anda tulis. Atau untuk mempromosikan Google Play, kami mungkin memaparkan tangkapan skrin apl yang anda tawarkan di Gedung Play.
- membangunkan teknologi dan perkhidmatan baharu untuk Google yang tekal dengan syarat ini
Tempoh
Lesen ini sah selagi kandungan anda dilindungi oleh hak harta intelektual.
Jika anda menghapuskan apa-apa kandungan yang dilindungi oleh lesen ini daripada perkhidmatan kami, maka sistem kami akan berhenti menjadikan kandungan itu tersedia kepada umum dalam tempoh masa yang munasabah. Terdapat dua pengecualian:
- Jika anda sudah berkongsi kandungan anda dengan orang lain sebelum menghapuskan kandungan tersebut. Contohnya, jika anda berkongsi foto dengan rakan yang kemudiannya membuat salinan atau mengongsi foto itu semula, maka foto itu boleh terus dipaparkan dalam Google Account rakan anda walaupun selepas anda mengalih keluar foto itu daripada Google Account anda.
- Jika anda menjadikan kandungan anda tersedia melalui perkhidmatan syarikat lain, enjin carian, termasuk Google Search, mungkin akan terus mencari dan memaparkan kandungan anda sebagai sebahagian daripada hasil carian mereka.
Menggunakan perkhidmatan Google
Akaun Google Anda
Jika anda memenuhi syarat umur ini anda boleh membuat Google Account untuk kemudahan anda. Sesetengah perkhidmatan menghendaki anda mempunyai Google Account untuk berfungsi — sebagai contoh, untuk menggunakan Gmail, anda memerlukan Google Account supaya anda mempunyai tempat untuk menghantar dan menerima e-mel anda.
Anda bertanggungjawab terhadap perkara yang anda lakukan dengan Google Account anda, termasuk mengambil langkah yang munasabah untuk memastikan Google Account anda selamat, dan kami menggalakkan anda agar selalu menggunakan Pemeriksaan Keselamatan.
Menggunakan perkhidmatan Google bagi pihak organisasi atau perniagaan
- wakil sah organisasi itu mesti bersetuju untuk menerima syarat ini
- pentadbir organisasi anda mungkin memperuntukkan Google Account kepada anda. Pentadbir itu mungkin memerlukan anda mematuhi peraturan tambahan dan mungkin dapat mengakses atau melumpuhkan Google Account anda.
Komunikasi berkaitan perkhidmatan
Untuk menyediakan perkhidmatan kami kepada anda, kadangkala kami menghantar pengumuman perkhidmatan dan maklumat lain kepada anda. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara kami berkomunikasi dengan anda, lihat Dasar Privasi Google.
Jika anda memilih untuk memberikan maklum balas kepada kami, seperti cadangan untuk memperbaik perkhidmatan, kami mungkin bertindak atas maklum balas anda tanpa sebarang kewajipan kepada anda.
Kandungan dalam perkhidmatan Google
Kandungan anda
Sesetengah perkhidmatan kami membenarkan anda untuk menjana kandungan asal. Google tidak akan menuntut pemilikan terhadap kandungan tersebut.
Sesetengah perkhidmatan kami memberi anda peluang untuk menjadikan kandungan anda tersedia kepada umum — contohnya, anda mungkin menyiarkan ulasan produk atau restoran yang anda tulis, atau anda mungkin memuat naik catatan blog yang anda buat.
- Lihat bahagian Kebenaran untuk menggunakan kandungan anda untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang hak anda dalam kandungan anda dan cara kandungan anda digunakan dalam perkhidmatan kami
- Lihat bahagian Menghapuskan kandungan anda untuk mengetahui sebab dan cara kami mungkin menghapuskan kandungan yang dijana pengguna daripada perkhidmatan kami
Jika anda berpendapat seseorang melanggar hak harta intelektual anda, anda boleh menghantar notis kepada kami tentang pelanggaran tersebut dan kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya. Contohnya, kami menggantung atau menutup Google Account pelanggar hak cipta berulang seperti yang dijelaskan dalam Pusat Bantuan Hak Cipta kami.
Kandungan Google
Sesetengah perkhidmatan kami merangkumi kandungan yang dimiliki oleh Google — contohnya, kebanyakan ilustrasi visual yang anda lihat dalam Google Maps. Anda boleh menggunakan kandungan Google seperti yang dibenarkan oleh syarat ini dan mana-mana syarat tambahan khusus perkhidmatan, tetapi kami mengekalkan sebarang hak harta intelek yang kami miliki dalam kandungan kami. Jangan alih keluar, selindungi atau ubah mana-mana penjenamaan, logo, atau notis undang-undang kami. Jika anda ingin menggunakan penjenamaan atau logo kami, sila lihat halaman Kebenaran Jenama Google.
Kandungan lain
Akhir sekali, sesetengah perkhidmatan kami memberi anda akses kepada kandungan yang dimiliki oleh orang atau organisasi lain — contohnya, perihalan pemilik kedai tentang perniagaan mereka sendiri atau artikel akhbar yang dipaparkan dalam Google News. Anda tidak boleh menggunakan kandungan ini tanpa kebenaran orang atau organisasi itu, atau kecuali dibenarkan oleh undang-undang. Pendapat yang diutarakan dalam kandungan milik orang atau organisasi lain ialah pendapat mereka dan tidak semestinya menggambarkan pendapat Google.
Perisian dalam perkhidmatan Google
Sesetengah perkhidmatan kami merangkumi perisian yang boleh dimuat turun atau dipramuat. Kami memberi anda kebenaran untuk menggunakan perisian itu sebagai sebahagian daripada perkhidmatan.
- boleh digunakan di seluruh dunia, yang bermakna lesen ini sah di mana-mana sahaja di dunia
- bukan eksklusif, yang bermakna kami boleh melesenkan perisian kepada orang lain
- bebas royalti, yang bermakna tidak ada yuran dalam bentuk wang bagi lesen ini
- peribadi, yang bermakna lesen ini tidak boleh dikongsikan kepada orang lain
- tidak boleh diserahkan hak, yang bermakna anda tidak dibenarkan menyerahkan hak lesen ini kepada orang lain
Sesetengah perkhidmatan kami merangkumi perisian yang ditawarkan di bawah syarat lesen sumber terbuka yang kami jadikan tersedia kepada anda. Kadangkala terdapat peruntukan dalam lesen sumber terbuka yang membatalkan beberapa bahagian syarat ini dengan jelas. Oleh itu, pastikan anda membaca lesen tersebut.
Anda tidak boleh menyalin, mengubah suai, mengedar, menjual atau menyewakan mana-mana bahagian perkhidmatan atau perisian kami.
Sekiranya timbul masalah atau perselisihan
Penafian jaminan
Reputasi kami dibentuk melalui penyediaan perkhidmatan yang berguna dan andal, seperti Google Search dan Maps, dan kami memperbaik perkhidmatan kami secara berterusan untuk memenuhi keperluan anda. Walau bagaimanapun, untuk tujuan undang-undang, kami menawarkan perkhidmatan tanpa jaminan melainkan dinyatakan dengan jelas dalam syarat tambahan khusus perkhidmatan kami. Undang-undang menghendaki kami menerangkan perkara ini menggunakan bahasa perundangan khusus dan kami menggunakan huruf besar bagi membantu untuk memastikan anda melihat perkara ini, seperti yang berikut:
SETAKAT YANG DIBENARKAN OLEH UNDANG-UNDANG YANG BERKENAAN, KAMI MENYEDIAKAN PERKHIDMATAN KAMI “SEPERTI ADANYA” TANPA SEBARANG JAMINAN TERSURAT ATAU TERSIRAT, TERMASUK JAMINAN YANG TERSIRAT BERHUBUNG KEBOLEHDAGANGAN, KESESUAIAN UNTUK TUJUAN TERTENTU DAN BUKAN PELANGGARAN. CONTOHNYA, KAMI TIDAK MEMBUAT SEBARANG JAMINAN TENTANG KANDUNGAN ATAU CIRI PERKHIDMATAN, TERMASUK KETEPATAN, KEANDALAN, KETERSEDIAAN ATAU KEUPAYAANNYA UNTUK MEMENUHI KEPERLUAN ANDA.
JANGAN BERGANTUNG PADA PERKHIDMATAN INI UNTUK MENDAPATKAN NASIHAT PERUBATAN, UNDANG-UNDANG, KEWANGAN ATAU NASIHAT PROFESIONAL LAIN. SEBARANG KANDUNGAN TENTANG TOPIK TERSEBUT DISEDIAKAN UNTUK TUJUAN MAKLUMAT SAHAJA DAN TIDAK BOLEH MENGGANTIKAN NASIHAT DARIPADA PAKAR YANG BERKELAYAKAN.
Liabiliti
Untuk semua pengguna
Undang-undang dan syarat ini kedua-duanya cuba mencari keseimbangan tentang perkara yang boleh anda atau Google tuntut daripada satu sama lain sekiranya terdapat masalah. Itulah sebabnya undang-undang menghendaki semua orang bertanggungjawab untuk liabiliti tertentu — tetapi bukan yang lain — di bawah syarat ini.
Syarat ini hanya mengehadkan tanggungjawab kami seperti yang dibenarkan oleh undang-undang yang berkenaan. Syarat ini tidak mengehadkan liabiliti bagi kecuaian melampau atau salah laku yang disengajakan.
- Google hanya bertanggungjawab bagi pelanggaran syarat ini atau syarat tambahan khusus perkhidmatan yang berkenaan
- Google tidak bertanggungjawab bagi:
- kehilangan keuntungan, hasil, peluang perniagaan, muhibah atau penjimatan yang dijangkakan
- kerugian tidak langsung atau turutan
- ganti rugi punitif
- Jumlah liabiliti Google yang timbul daripada atau berkaitan dengan syarat ini adalah terhad kepada (1) $200 atau (2) yuran yang dibayar untuk menggunakan perkhidmatan yang berkaitan sepanjang 12 bulan sebelum pelanggaran berlaku, mana-mana nilai yang lebih besar
Untuk pengguna perniagaan dan organisasi sahaja
Jika anda ialah pengguna perniagaan atau organisasi:
- Setakat yang dibenarkan oleh undang-undang yang berkenaan, anda akan melindungi Google dan para pengarah, pegawai, kakitangan, dan kontraktornya daripada sebarang prosiding undang-undang pihak ketiga (termasuk tindakan oleh pihak berkuasa kerajaan) yang timbul daripada atau berkaitan dengan penggunaan anda yang menyalahi undang-undang terhadap perkhidmatan atau pelanggaran syarat ini atau syarat tambahan khusus perkhidmatan. Perlindungan ini meliputi sebarang liabiliti atau perbelanjaan yang timbul daripada tuntutan, kerugian, kerosakan, penghakiman, denda, kos litigasi dan yuran guaman.
- Jika anda dikecualikan dari sisi undang-undang daripada tanggungjawab tertentu, termasuk perlindungan, maka tanggungjawab tersebut tidak dikenakan kepada anda di bawah syarat ini. Sebagai contoh, Bangsa-Bangsa Bersatu mempunyai kekebalan tertentu terhadap kewajipan undang-undang dan syarat ini tidak membatalkan kekebalan tersebut.
Mengambil tindakan sekiranya berlaku masalah
Sebelum mengambil tindakan seperti yang diterangkan di bawah, kami akan memberi anda notis awal sekiranya wajar, menerangkan sebab tindakan kami, dan memberi anda peluang untuk menjelaskan dan menangani masalah tersebut, melainkan jika berbuat demikian akan:
- mengakibatkan kemudaratan atau liabiliti kepada pengguna, pihak ketiga, atau Google
- melanggar undang-undang atau perintah pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang
- menjejaskan penyiasatan
- menjejaskan operasi, integriti, atau keselamatan perkhidmatan kami
Menghapuskan kandungan anda
Jika mana-mana kandungan anda (1) melanggar syarat ini, syarat atau dasar tambahan khusus perkhidmatan, (2) melanggar undang-undang yang berkenaan, atau (3) boleh memudaratkan pengguna kami, pihak ketiga atau Google, maka kami berhak untuk mengeluarkan sebahagian atau semua kandungan tersebut menurut undang-undang yang berkenaan. Contoh termasuk pornografi kanak-kanak, kandungan yang memudahkan pemerdagangan manusia atau gangguan, kandungan pengganas dan kandungan yang melanggar hak harta intelek orang lain.
Menggantung atau menamatkan akses anda kepada perkhidmatan Google
Tanpa mengehadkan mana-mana hak kami yang lain, Google boleh menggantung atau menamatkan akses anda kepada perkhidmatan atau memadamkan Google Account anda jika mana-mana perkara ini berlaku:
- anda secara ketara atau berulang kali melanggar syarat ini, dasar atau syarat tambahan khusus perkhidmatan
- kami dikehendaki berbuat demikian demi mematuhi keperluan undang-undang atau perintah mahkamah
- tingkah laku anda menyebabkan kemudaratan atau liabiliti kepada pengguna, pihak ketiga atau Google — contohnya, dengan menggodam, memancing data, mengganggu, menghantar spam, memperdayakan orang lain atau mengikis kandungan yang bukan milik anda
Untuk mendapatkan maklumat lanjut sebab kami melumpuhkan akaun dan perkara yang berlaku apabila kami mengambil tindakan tersebut, lihat halaman Pusat Bantuan ini. Jika anda percaya Google Account anda telah digantung atau ditamatkan secara salah, anda boleh membuat rayuan.
Sudah semestinya anda bebas untuk berhenti menggunakan perkhidmatan kami pada bila-bila masa. Jika anda berhenti menggunakan perkhidmatan, kami ingin mengetahui sebab tindakan itu supaya kami dapat memperbaik perkhidmatan kami secara berterusan.
Menyelesaikan pertikaian, undang-undang pentadbiran, dan mahkamah
Untuk mendapatkan maklumat mengenai cara menghubungi Google, sila melawat halaman hubungan kami.
Undang-undang California akan mentadbir semua pertikaian yang timbul daripada atau berhubung syarat ini, syarat tambahan khusus perkhidmatan, atau sebarang perkhidmatan yang berkaitan, tanpa mengira peraturan percanggahan undang-undang. Pertikaian ini akan diselesaikan secara eksklusif di mahkamah persekutuan atau negeri Kaunti Santa Clara, California, Amerika Syarikat, dan anda dan Google mengizinkan bidang kuasa persendirian dalam mahkamah tersebut.
Perihal syarat ini
Menurut undang-undang, anda mempunyai hak tertentu yang tidak boleh dihadkan oleh kontrak seperti syarat perkhidmatan ini. Syarat ini tidak bertujuan sama sekali untuk mengehadkan hak tersebut.
Syarat ini menjelaskan hubungan antara anda dengan Google. Syarat ini tidak mewujudkan sebarang hak undang-undang untuk orang atau organisasi lain, walaupun pihak lain mendapat manfaat daripada hubungan antara anda dengan Google menurut syarat ini.
Kami ingin menjadikan syarat ini mudah difahami. Oleh itu, kami telah menggunakan contoh daripada perkhidmatan kami. Akan tetapi, tidak semua perkhidmatan yang disebut mungkin tersedia di negara anda.
Jika terdapat percanggahan antara syarat ini dengan syarat tambahan khusus perkhidmatan, syarat tambahan akan diutamakan untuk perkhidmatan tersebut.
Jika didapati syarat tertentu tidak sah atau tidak boleh dikuatkuasakan, hal ini tidak akan menjejaskan mana-mana syarat yang lain.
Jika anda tidak mematuhi syarat ini atau syarat tambahan khusus perkhidmatan, dan kami tidak mengambil tindakan dengan serta-merta, ini tidak bermakna kami menyerahkan mana-mana hak yang kami miliki, seperti mengambil tindakan pada masa hadapan.
Kami mungkin mengemas kini syarat ini dan syarat tambahan khusus perkhidmatan (1) untuk menggambarkan perubahan dalam perkhidmatan kami atau cara kami mengendalikan perniagaan — contohnya, apabila kami menambahkan perkhidmatan, ciri, teknologi, harga atau faedah baharu (atau menghentikan yang lama), (2) atas sebab undang-undang, kawal selia atau keselamatan, atau (3) untuk menghalang penyalahgunaan atau kemudaratan.
Jika kami membuat perubahan besar kepada syarat ini atau syarat tambahan khusus perkhidmatan, kami akan memberi anda notis awal yang munasabah dan peluang untuk menyemak perubahan tersebut, kecuali (1) apabila kami melancarkan perkhidmatan atau ciri baharu, atau (2) dalam keadaan yang terdesak, seperti menghalang penyalahgunaan yang berterusan atau bertindak atas keperluan undang-undang. Jika anda tidak bersetuju menerima syarat yang baharu, anda harus mengalih keluar kandungan anda dan berhenti menggunakan perkhidmatan tersebut. Anda juga boleh menamatkan hubungan anda dengan kami pada bila-bila masa dengan menutup Google Account anda. Jika anda menutup Google Account anda dan kemudian mengakses atau menggunakan perkhidmatan kami tanpa akaun, akses dan penggunaan itu akan tertakluk pada versi terkini syarat ini.
Takrif
anggota gabungan
Entiti yang dimiliki oleh kumpulan syarikat Google, yang bermakna Google LLC dan anak syarikatnya, termasuk syarikat yang berikut yang menyediakan perkhidmatan pengguna di EU: Google Ireland Limited, Google Commerce Ltd, dan Google Dialer Inc.
cap dagangan
Simbol, nama dan imej yang digunakan dalam perdagangan yang berupaya untuk membezakan barangan atau perkhidmatan orang perseorangan atau organisasi daripada yang dimiliki oleh orang atau organisasi lain.
hak cipta
Hak perundangan yang membolehkan pencipta karya asal (seperti catatan blog, foto, atau video) menentukan jika dan cara karya asal itu boleh digunakan oleh orang lain, tertakluk pada had dan pengecualian tertentu (seperti “penggunaan saksama” dan “urus niaga saksama”).
hak harta intelektual (hak IP)
Hak atas ciptaan daripada minda seseorang, seperti reka cipta (hak paten); karya kesusasteraan dan seni (hak cipta); reka bentuk (hak reka bentuk); dan simbol, nama serta imej yang digunakan dalam perdagangan (cap dagangan). Hak IP mungkin milik anda, individu lain atau organisasi.
jaminan
Jaminan bahawa produk atau perkhidmatan akan memberikan prestasi pada tahap tertentu.
kandungan anda
Bahan digital yang anda buat, muat naik, serah, simpan, hantar, terima atau kongsi menggunakan perkhidmatan kami, seperti:
- Docs, Sheets dan Slides yang anda buat
- catatan blog yang anda muat naik melalui Blogger
- ulasan yang anda serahkan melalui Maps
- video yang anda simpan dalam Drive
- e-mel yang anda hantar dan terima melalui Gmail
- gambar yang anda kongsi dengan rakan melalui Photos
- jadual perjalanan yang anda kongsi dengan Google
liabiliti
Kerugian daripada sebarang jenis tuntutan perundangan, sama ada tuntutan itu berdasarkan kontrak, tort (termasuk kecuaian), atau sebab lain, dan tidak kira sama ada kerugian itu boleh dijangkakan atau diramalkan atau tidak.
melindungi atau perlindungan
Kewajipan kontrak orang perseorangan atau organisasi untuk memberikan pampasan bagi kerugian yang ditanggung oleh orang atau organisasi lain akibat daripada prosiding undang-undang seperti tuntutan mahkamah.
organisasi
Entiti sah (seperti perbadanan, organisasi bukan untung, atau sekolah) dan bukan individu.
penafian
Pernyataan yang mengehadkan tanggungjawab perundangan seseorang.
pengguna
Individu yang menggunakan perkhidmatan Google untuk tujuan peribadi dan bukan komersial di luar skop perdagangan, perniagaan, kemahiran atau pekerjaan mereka. (Lihat pengguna perniagaan)
pengguna perniagaan
Individu atau entiti yang bukan pengguna (lihat pengguna).
perkhidmatan
Perkhidmatan Google yang tertakluk pada syarat ini ialah produk dan perkhidmatan yang disenaraikan pada https://policies.google.com/terms/service-specific, termasuk:
- apl dan laman (seperti Search dan Maps)
- platform (seperti Google Shopping)
- perkhidmatan bersepadu (seperti Maps yang dibenamkan dalam apl atau tapak syarikat lain)
- peranti dan barangan lain (seperti Google Nest)
Kebanyakan perkhidmatan ini juga termasuk kandungan yang boleh anda strim atau berinteraksi.
versi negara
Jika anda mempunyai Google Account, kami mengaitkan akaun anda dengan negara (atau wilayah) supaya kami dapat menentukan:
- ahli gabungan Google yang menyediakan perkhidmatan kepada anda dan yang memproses maklumat anda semasa anda menggunakan perkhidmatan tersebut
- versi syarat yang mengawal hubungan kita
Apabila anda telah log keluar, versi negara anda ditentukan oleh lokasi tempat anda menggunakan perkhidmatan Google. Jika anda mempunyai akaun, anda boleh log masuk dan melihat syarat ini untuk melihat negara yang dikaitkan dengan syarat tersebut.