Rangka kerja undang-undang untuk pemindahan data

Berkuat kuasa 1 Februari 2020

Undang-undang perlindungan data berbeza-beza antara negara. Sesetengah negara menyediakan perlindungan yang lebih tinggi berbanding negera lain. Tidak kira tempat maklumat anda diproses, kami menerapkan perlindungan yang sama seperti yang dihuraikan dalam Dasar Privasi. Kami turut mematuhi rangka kerja undang-undang tertentu yang berkaitan dengan pemindahan data, seperti rangka kerja Eropah yang dihuraikan di bawah.

Suruhanjaya Eropah telah menentukan bahawa sesetengah negara di luar Kawasan Ekonomi Eropah (EEA) melindungi data peribadi dengan secukupnya. Anda boleh menyemak keputusan kecukupan semasa Suruhanjaya Eropah di sini. Untuk memindahkan data dari EEA ke negara lain, seperti Amerika Syarikat, kami mematuhi rangka kerja undang-undang yang menetapkan tahap perlindungan yang setara dengan undang-undang EU.

Rangka Kerja EU-U.S. Privacy Shield (Perisai Privasi EU-AS) dan Swiss-U.S. Privacy Shield (Perisai Privasi Swiss-AS)

Seperti yang dinyatakan dalam perakuan Privacy Shield (Perisai Privasi), kami mematuhi Rangka Kerja EU-U.S. Privacy Shield (Perisai Privasi EU-AS) dan Swiss-U.S. Privacy Shield (Perisai Privasi Swiss-AS) seperti yang dikemukakan oleh Jabatan Perdagangan AS berhubung pengumpulan, penggunaan dan penyimpanan maklumat peribadi dari negara ahli Kesatuan Eropah (termasuk negara ahli EEA) dan masing-masing dari UK serta Switzerland. Google, termasuk Google LLC dan subsidiari AS milik penuhnya (kecuali subsidiari yang dikecualikan dengan jelas), telah mengakui bahawa mereka mematuhi Prinsip Privacy Shield (Perisai Privasi) ini. Google kekal bertanggungjawab terhadap sebarang maklumat peribadi anda yang dikongsikan di bawah Prinsip Pemindahan Terus kepada pihak ketiga untuk pemprosesan luaran bagi pihak kami, seperti yang dinyatakan dalam bahagian “Berkongsi maklumat anda”. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang program Privacy Shield (Perisai Privasi) dan untuk melihat perakuan Google, sila lawati tapak web Privacy Shield (Perisai Privasi).

Jika anda mempunyai pertanyaan tentang amalan privasi kami berhubung perakuan Perlindungan Privasi, sila hubungi kami. Google termaktub di bawah kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika Syarikat (FTC). Anda juga boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa perlindungan data tempatan anda dan kami akan bekerjasama dengan mereka untuk menyelesaikan kebimbangan anda. Dalam keadaan tertentu, Rangka Kerja Perlindungan ini memberikan hak untuk menggunakan timbang tara mengikat bagi menyelesaikan aduan yang gagal diselesaikan dengan cara lain, seperti yang dihuraikan dalam Lampiran I kepada Prinsip Perlindungan Privasi.

Klausa kontrak model

Suruhanjaya Eropah telah meluluskan penggunaan klausa kontrak model sebagai cara untuk memastikan perlindungan yang mencukupi apabila memindahkan data di luar EEA. Dengan menggabungkan klausa kontrak model ke dalam kontrak yang termeterai antara pihak yang memindahkan data, data peribadi boleh dilindungi apabila dipindahkan di luar EEA ke negara yang belum dianggap oleh Suruhanjaya Eropah sebagai melindungi data peribadi dengan secukupnya.

Google menawarkan klausa kontrak model ini untuk pelanggan perkhidmatan perniagaannya, termasuk GSuite dan Google Cloud Platform. Butiran penggunaan klausa kontrak model oleh Google boleh didapati di privacy.google.com/businesses.