Cara Google mengendalikan permintaan kerajaan untuk mendapatkan maklumat pengguna

Agensi kerajaan dari seluruh dunia meminta Google untuk mendedahkan maklumat pengguna. Kami menilai setiap permintaan dengan teliti untuk memastikan permintaan itu mematuhi undang-undang yang dapat dikenakan. Jika terlalu banyak maklumat yang mereka minta, kami cuba untuk mengurangkan maklumat, dan dalam sesetengah keadaan kami menolak untuk memberikan sebarang maklumat sama sekali. Kami berkongsi bilangan dan jenis permintaan yang kami terima dalam Laporan Ketelusan kami.

Cara kami bertindak balas kepada permintaan bergantung pada penyedia perkhidmatan Google anda — bagi kebanyakan perkhidmatan kami sama ada Google LLC, sebuah syarikat AS yang beroperasi di bawah undang-undang AS, atau Google Ireland Limited, sebuah syarikat Ireland yang beroperasi di bawah undang-undang Ireland. Untuk memastikan penyedia perkhidmatan anda, lihat Syarat Perkhidmatan Google atau semak dengan pentadbir akaun anda jika Google Account anda diurus oleh sebuah organisasi.

Apabila kami menerima permintaan daripada agensi kerajaan, kami menghantar e-mel ke akaun pengguna sebelum mendedahkan maklumat. Jika akaun diurus oleh sebuah organisasi, kami akan memberikan notis kepada pentadbir akaun itu.

Kami tidak akan memberikan notis apabila dilarang oleh undang-undang di bawah syarat permintaan. Kami akan memberikan notis selepas larangan undang-undang itu dibatalkan, seperti apabila tempoh sekatan statutori atau yang diarahkan mahkamah telah tamat tempoh.

Kami mungkin tidak memberikan notis jika akaun telah dilumpuhkan atau dirampas. Kami mungkin tidak memberikan notis sekiranya berlaku kecemasan, seperti ancaman kepada keselamatan kanak-kanak atau ancaman kepada nyawa seseorang, dalam kes sedemikian kami akan memberikan notis jika kami mendapat tahu bahawa kecemasan telah berlalu.

Permintaan daripada agensi kerajaan AS dalam kes sivil, pentadbiran dan jenayah

Pindaan Keempat kepada Perlembagaan AS dan Akta Privasi Komunikasi Elektronik (ECPA) mengehadkan keupayaan kerajaan untuk memaksa penyedia mendedahkan maklumat pengguna. Pihak berkuasa AS mesti sekurang-kurangnya melakukan perkara berikut:

  • Dalam semua kes: Mengeluarkan sepina untuk memaksa pendedahan maklumat pendaftaran pelanggan asas dan alamat IP tertentu
  • Dalam kes jenayah
    • Dapatkan perintah mahkamah untuk memaksa pendedahan rekod bukan kandungan, seperti medan Kepada, Daripada, SK, SKT, dan Cap Masa dalam e-mel
    • Dapatkan waran geledah untuk memaksa pendedahan kandungan komunikasi, seperti mesej e-mel, dokumen, dan foto

Permintaan daripada agensi kerajaan AS dalam kes yang melibatkan keselamatan negara

Dalam penyiasatan yang berkaitan dengan keselamatan negara, kerajaan AS boleh menggunakan Surat Keselamatan Negara (NSL) atau salah satu pihak berkuasa yang dibenarkan di bawah Akta Pengawasan Perisikan Asing (FISA) untuk memaksa Google memberikan maklumat pengguna.

  • NSL tidak memerlukan keizinan kehakiman dan hanya boleh digunakan untuk memaksa kami memberikan maklumat pelanggan yang terhad.
  • Perintah dan keizinan FISA boleh digunakan untuk memaksa pengawasan elektronik dan pendedahan data yang disimpan, termasuk kandungan daripada perkhidmatan seperti Gmail, Drive, dan Photos.

Permintaan daripada pihak berkuasa kerajaan di luar AS

Google LLC kadangkala menerima permintaan pendedahan data daripada pihak berkuasa kerajaan di luar AS. Apabila kami menerima salah satu permintaan ini, kami boleh memberikan maklumat pengguna jika langkah tersebut konsisten dengan semua perkara berikut:

  • Undang-undang AS, yang bermaksud bahawa akses dan pendedahan itu dibenarkan di bawah undang-undang AS yang dapat dikenakan, seperti Akta Privasi Komunikasi Elektronik (ECPA)
  • Undang-undang negara yang meminta yang bermaksud bahawa kami memerlukan pihak berkuasa untuk mengikut proses dan keperluan undang-undang yang sama yang akan digunakan jika permintaan itu dibuat kepada penyedia tempatan untuk perkhidmatan yang serupa
  • Norma antarabangsa yang bermaksud kami hanya memberikan data sebagai tindak balas kepada permintaan yang mematuhi Prinsip Kebebasan Bersuara dan Privasi Inisiatif Rangkaian Global serta garis panduan perlaksanaan yang berkaitan.
  • Dasar Google yang termasuk sebarang syarat perkhidmatan dan dasar privasi yang bersesuaian, serta dasar yang berkaitan dengan perlindungan kebebasan bersuara

Oleh kerana Google Ireland bertanggungjawab untuk menyediakan majoriti perkhidmatan Google di Kawasan Ekonomi Eropah dan Switzerland, syarikat ini juga menerima permintaan untuk mendapatkan maklumat pengguna.

Permintaan daripada agensi kerajaan Ireland

Google Ireland mempertimbangkan undang-undang Ireland semasa menilai permintaan untuk mendapatkan maklumat pengguna oleh agensi Ireland. Undang-undang Ireland memerlukan pihak berkuasa undang-undang Ireland mendapatkan perintah keizinan kehakiman untuk memaksa Google Ireland memberikan maklumat pengguna.

Permintaan daripada pihak berkuasa kerajaan di luar Ireland

Google Ireland menawarkan perkhidmatan kepada pengguna yang berada di seluruh Kawasan Ekonomi Eropah dan Switzerland, oleh itu kadangkala kami menerima permintaan pendedahan data daripada pihak berkuasa kerajaan di luar Ireland. Dalam kes ini, kami boleh memberikan data pengguna jika langkah tersebut konsisten dengan semua perkara berikut:

  • Undang-undang Ireland, yang bermaksud bahawa akses dan pendedahan itu dibenarkan di bawah undang-undang Ireland yang dapat dikenakan, seperti Akta Penghakiman Jenayah Ireland.
  • Undang-undang Kesatuan Eropah (EU) yang boleh digunakan di Ireland, yang bermaksud mana-mana undang-undang EU yang boleh digunakan di Ireland termasuk Peraturan Perlindungan Data Umum (GDPR)
  • Undang-undang negara yang meminta yang bermaksud bahawa kami memerlukan pihak berkuasa untuk mengikut proses dan keperluan undang-undang yang sama yang akan digunakan jika permintaan itu dibuat kepada penyedia tempatan untuk perkhidmatan yang serupa
  • Norma antarabangsa yang bermaksud kami hanya memberikan data sebagai tindak balas kepada permintaan yang mematuhi Prinsip Kebebasan Bersuara dan Privasi Inisiatif Rangkaian Global serta garis panduan perlaksanaan yang berkaitan.
  • Dasar Google yang termasuk sebarang syarat perkhidmatan dan dasar privasi yang bersesuaian, serta dasar yang berkaitan dengan perlindungan kebebasan bersuara

Jika kami secara munasabah percaya bahawa kami boleh mengelakkan seseorang daripada meninggal dunia atau mengalami kecederaan fizikal yang serius, kami boleh memberikan maklumat kepada agensi kerajaan — sebagai contoh, dalam kes ancaman bom, tembakan di sekolah, penculikan, pencegahan bunuh diri dan kes orang hilang. Kami masih mempertimbangkan permintaan ini mengikut undang-undang yang dapat dikenakan dan dasar kami.

Apl Google
Menu utama