Panduan Privasi Remaja
Privasi anda pada Google
Anda boleh mendapatkan jawapan kepada beberapa pertanyaan yang sering diajukan kepada kami tentang privasi di sini, misalnya Apakah itu data? Lihat juga Dasar Privasi jika anda mahu mengetahui maklumat lanjut.
Lokasi anda
Adakah Google mengetahui lokasi saya?
Setiap kali anda menggunakan Internet, apl dan laman web boleh menganggarkan lokasi anda. Google juga melakukan perkara yang sama. Google mungkin juga mengetahui lokasi tepat anda, bergantung pada tetapan peranti anda. (Lihat Setepat manakah lokasi saya?)
Apabila anda melakukan carian pada Google, seperti menggunakan Search, Maps atau Google Assistant, lokasi semasa anda mungkin digunakan untuk memberikan hasil carian yang lebih berguna. Contohnya, jika anda mencari restoran, hasil carian yang paling berguna mungkin ialah restoran yang berdekatan dengan anda.
Lihat Cara anda dapat mengurus lokasi anda
Bagaimanakah cara menghidupkan dan mematikan lokasi?
Apabila anda melakukan carian pada Google, Google akan sentiasa menganggarkan kawasan umum tempat anda melakukan carian. Google, seperti apl atau laman web yang anda gunakan yang bersambung dengan Internet, dapat menganggarkan lokasi anda berdasarkan alamat IP peranti anda. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, lihat Bagaimanakah Google tahu lokasi saya?
Untuk memilih sama ada mahu menghantar lokasi tepat anda apabila menggunakan Google atau tidak, anda boleh menghidupkan atau mematikan kebenaran lokasi untuk setiap apl, laman web dan untuk peranti anda.
Jika anda menetapkan alamat rumah atau tempat kerja anda dan Google menganggarkan bahawa anda berada di rumah atau tempat kerja, maka alamat yang tepat akan digunakan untuk carian anda.
Setepat manakah lokasi saya?
Kawasan umum anda
Apabila anda melakukan carian pada Google, Google akan sentiasa menganggarkan kawasan umum tempat anda melakukan carian. Dengan cara ini, Google boleh memberi anda hasil carian yang berkaitan dan memastikan akaun anda selamat dengan mengesan aktiviti luar biasa seperti log masuk dari bandar baharu.
Kawasan umum adalah lebih besar daripada 3 km persegi dengan sekurang-kurangnya 1000 pengguna supaya kawasan umum carian anda tidak mengenal pasti anda, lantas membantu untuk melindungi privasi anda.
Lokasi tepat anda
Jika anda memberikan kebenaran, Google boleh menggunakan lokasi tepat anda. Contohnya, Google memerlukan lokasi tepat anda untuk mengembalikan hasil carian yang paling relevan untuk carian seperti “ais krim berdekatan saya” atau arah berjalan belok demi belok ke kedai.
Lokasi tepat bermaksud kedudukan anda yang benar-benar tepat, seperti alamat tertentu.
Bagaimanakah Google mengetahui lokasi saya?
Lokasi anda bersandarkan pelbagai sumber, yang digunakan secara bersama untuk menganggarkan kedudukan anda.
Alamat IP peranti anda
Alamat IP secara kasar ditentukan berdasarkan geografi, serupa dengan kod kawasan nombor telefon. Hal ini bermaksud bahawa mana-mana apl atau laman web yang anda gunakan, termasuk google.com, boleh menganggarkan kawasan umum kedudukan anda disebabkan oleh alamat IP anda. Alamat IP peranti anda diberikan kepada peranti anda oleh Penyedia Perkhidmatan Internet dan diperlukan untuk menggunakan Internet.
Lokasi peranti anda
Jika anda memberikan kebenaran kepada apl atau laman Google untuk menggunakan lokasi peranti anda, maklumat tersebut boleh digunakan untuk mengetahui kedudukan anda. Hampir semua peranti memiliki tetapan lokasi terbina dalam sistem pengendalian, biasanya dalam tetapan.
Aktiviti anda pada Google
Google dapat menganggarkan kawasan umum lokasi anda berdasarkan carian Google anda yang sebelumnya. Contohnya, jika anda sering mencari piza di Mumbai, hal ini bermakna mungkin anda mahu melihat hasil carian di Mumbai.
Tempat berlabel anda
Jika anda menetapkan alamat rumah atau tempat kerja, Google boleh menggunakan alamat itu untuk menganggarkan kedudukan anda. Contohnya, jika anda menetapkan alamat rumah dan alamat IP anda, aktiviti sebelumnya atau sumber maklumat lokasi lain menunjukkan bahawa anda mungkin berdekatan dengan rumah anda, maka kami akan menggunakan lokasi rumah anda untuk menganggarkan kedudukan anda.
Siapakah yang dapat melihat lokasi saya?
Terpulang kepada anda. Jika anda menggunakan Perkongsian Lokasi Google, anda boleh berkongsi lokasi masa nyata anda dengan rakan dan keluarga merentas perkhidmatan Google.
Semak sama ada anda berkongsi lokasi anda atau tidak
Perkongsian Lokasi dimatikan secara lalai. Jika anda mahu berkongsi lokasi masa nyata, anda perlu memilih dan mengesahkan pihak yang mahu anda kongsi maklumat tersebut serta tempoh perkongsian. Anda boleh berhenti berkongsi lokasi anda pada bila-bila masa.
Perkongsian pada Google
Apakah yang dapat dilihat oleh orang lain apabila saya berkongsi pada Google?
Maklumat tentang diri anda yang dapat dilihat oleh orang lain pada perkhidmatan Google bergantung pada perkara dan cara anda berkongsi:
Berkongsi secara terbuka
Jika anda menyumbang kepada apl seperti Google Maps, orang lain dapat melihat nama dan gambar anda. Contohnya, jika anda menilai kedai ais krim kegemaran anda, orang lain dapat melihat rating, nama dan gambar anda jika mereka menerokai kedai itu pada Google Maps.
Berkongsi secara tertutup
Jika anda berkongsi perkara seperti foto, video dan dokumen dengan orang lain, nama dan gambar anda dapat dilihat oleh orang yang menerima perkongsian tersebut di samping kandungan yang dikongsi.
Fikir dengan teliti sebelum berkongsi dengan orang lain dan fahami tahap akses yang anda berikan. Contohnya, semasa berkongsi akses kepada kandungan seperti folder dalam Google Drive atau album dalam Google Photos, pengguna mungkin mempunyai akses berterusan apabila anda menambahkan kandungan baharu.
Siapakah yang dapat melihat kandungan yang saya kongsikan, seperti foto, video dan dokumen?
Anda boleh memilih untuk berkongsi kandungan tertentu dengan orang lain dalam perkhidmatan Google yang anda gunakan.
Jangan lupa bahawa apabila anda berkongsi, orang lain boleh membuat perkongsian semula, walaupun pada apl dan pada laman di luar Google.
Anda boleh memadamkan kandungan anda sendiri daripada akaun anda pada bila-bila masa tetapi tindakan ini tidak memadamkan salinan yang telah dikongsi.
Waspada dengan perkara yang dikongsi dan berkongsi dengan orang yang dipercayai sahaja.
Adakah Google pernah berkongsi maklumat peribadi saya dengan orang lain?
Kami tidak berkongsi maklumat peribadi anda dengan syarikat, organisasi atau individu di luar Google melainkan dalam kes yang terhad, seperti apabila kami diminta oleh undang-undang untuk berbuat demikian.
Jika anda mempunyai Google Account melalui sekolah anda (akaun Google Workspace for Education), pentadbir sekolah yang mengurus akaun anda akan mempunyai akses kepada maklumat anda.
Akses oleh pentadbir sekolah
Pentadbir sekolah anda mungkin dapat mengakses maklumat yang berikut dalam akaun Google Workspace for Education anda:
- Mengakses dan mengekalkan maklumat yang disimpan dalam akaun anda, seperti e-mel anda
- Melihat statistic-statistik berkenaan akaun anda, seperti bilangan apl yang dipasang
- Menukarkan kata laluan akaun anda
- Menggantungkan atau menamatkan akses akaun anda
- Menerima maklumat akaun anda untuk mematuhi undang-undang, peraturan, proses undang-undang yang berkaitan atau arahan kerajaan yang boleh dikuatkuasakan
- Mengehadkan keupayaan anda untuk memadamkan atau mengeditkan maklumat atau tetapan-tetapan privasi
Sebab Google mungkin berkongsi maklumat anda
Apabila anda memberikan kebenaran kepada kami
Contohnya, jika anda menggunakan Google Assistant untuk memesan piza, kami akan mendapatkan kebenaran anda sebelum berkongsi nama atau nombor telefon anda dengan restoran. Lihat Cara Google membantu anda berkongsi data secara selamat dengan apl & perkhidmatan pihak ketiga
Dengan pentadbir domain, seperti yang diterangkan di atas.
Untuk pemprosesan luar, Kami memberikan maklumat peribadi kepada syarikat yang bekerjasama dengan kami untuk memproses data berdasarkan arahan yang kami berikan kepada mereka. Contohnya, kami menggunakan syarikat luar untuk membantu kami dengan sokongan pelanggan dan perlu berkongsi maklumat peribadi dengan syarikat tersebut untuk membalas pertanyaan pelanggan kami.
Untuk tujuan undang-undang
Kami akan berkongsi maklumat peribadi di luar Google jika kami percaya bahawa pemberian maklumat tersebut mungkin wajar untuk:
- Mematuhi sebarang undang-undang yang bersesuaian, peraturan, proses perundangan atau arahan kerajaan yang boleh dikuatkuasakan.
- Menguatkuasakan Syarat Perkhidmatan yang berkenaan, termasuk menyiasat pelanggaran-pelanggaran yang mungkin berlaku.
- Mengesan, menghalang atau menangani isu-isu penipuan, keselamatan atau teknikal.
- Melindungi daripada bahaya terhadap hak, harta atau keselamatan Google, pengguna kami atau orang ramai seperti yang dikehendaki atau dibenarkan oleh undang-undang.
Data & pemeribadian
Apakah data tentang saya yang dikumpulkan oleh Google?
Apabila anda menggunakan perkhidmatan Google, kami mengumpulkan maklumat yang kami perlukan untuk menyediakan perkhidmatan tersebut kepada anda, menjadikan perkhidmatan tersebut lebih berguna untuk anda dan untuk sebab lain seperti yang dijelaskan dalam Mengapakah Google mengumpulkan data?.
Anda boleh mengehadkan data yang kami kumpulkan dan cara data itu digunakan dengan tetapan anda. Contohnya, jika anda tidak mahu kami menyimpan Sejarah YouTube anda dalam Google Account anda, anda boleh mematikan Sejarah YouTube. Lihat Bagaimanakah cara menentukan maklumat yang disimpan oleh Google?
Apakah itu data?
Maklumat peribadi anda merangkumi perkara yang anda berikan kepada kami yang mengecam identiti anda secara peribadi, seperti nama atau alamat e-mel anda. Hal ini merangkumi data lain yang dapat dikaitkan secara wajar dengan anda oleh Google, seperti maklumat yang kami kaitkan dengan anda dalam Google Account anda.
Maklumat peribadi anda merangkumi dua jenis perkara:
Perkara yang anda sediakan atau buat
Apabila anda membuat Google Account, anda memberi kami maklumat peribadi seperti nama dan kata laluan anda.
Anda juga boleh menyimpan kandungan yang anda buat, muat naik atau terima daripada orang lain, seperti mesej e-mel dan gambar.
Perkara yang anda lakukan pada Google
Kami mengumpulkan maklumat tentang aktiviti anda dalam perkhidmatan kami, yang boleh merangkumi perkara seperti istilah yang anda cari dan video yang anda tonton, orang yang berkomunikasi dengan anda atau berkongsi kandungan dan sejarah penyemakan imbas Chrome anda untuk memberikan pengalaman yang lebih baik.
Kami mengumpulkan maklumat tentang apl, penyemak imbas dan peranti yang anda gunakan untuk mengakses perkhidmatan Google, yang membantu kami menyediakan ciri seperti memalapkan skrin jika bateri anda lemah.
Kami memproses lokasi anda, iaitu apabila anda menggunakan ciri seperti arah belok demi belok. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, lihat bahagian Lokasi.
Mengapakah Google mengumpulkan data?
Kami mengumpulkan maklumat yang diperlukan untuk menyediakan perkhidmatan kami, menjadikannya lebih berguna untuk anda dan untuk alasan lain seperti yang dijelaskan dalam Cara kami menggunakan data.
Contohnya, Google Maps dapat membantu anda menuju ke destinasi anda sambil mengelak kesesakan lalu lintas kerana Google Maps menggabungkan maklumat tentang lokasi anda (data anda) dengan data awam (peta dan maklumat tentang tempat awam).
Cara kami menggunakan data
Menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan kami
Kami menggunakan data untuk menyediakan perkhidmatan kami, seperti memproses istilah yang anda cari untuk mengembalikan hasil carian.
Menyelenggara & meningkatkan perkhidmatan-perkhidmatan kami
Data membantu kami menyelenggara dan meningkatkan perkhidmatan kami. Contohnya, kami dapat mengesan gangguan perkhidmatan. Selain itu, apabila kami memahami istilah carian yang paling kerap disalah eja, kami dapat meningkatkan ciri semak ejaan yang digunakan merentas perkhidmatan kami.
Membangunkan perkhidmatan-perkhidmatan baharu
Data membantu kami membangunkan perkhidmatan baharu. Sebagai contoh, kami dapat memahami cara orang menyusun foto mereka pada apl foto pertama kami, iaitu Picasa, dan menggunakan data tersebut untuk membantu kami mereka bentuk dan melancarkan Google Photos. Kami mungkin menggunakan interaksi anda dengan perkhidmatan kami, termasuk produk AI generatif kami, untuk membangunkan dan meningkatkan perkhidmatan ini.
Menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan yang diperibadikan, termasuk kandungan dan iklan
Kami menggunakan data untuk menyediakan kandungan yang diperibadikan, contohnya, syor untuk video yang mungkin anda suka. Bergantung pada tetapan dan umur anda, kami mungkin menunjukkan kepada anda iklan yang diperibadikan berdasarkan minat anda.
Ukur prestasi
Kami juga menggunakan data untuk mengukur prestasi dan memahami cara perkhidmatan kami digunakan
Berkomunikasi dengan anda
Kami mungkin menggunakan alamat e-mel anda untuk menghantar pemberitahuan kepada anda jika kami mengesan aktiviti yang mencurigakan
Melindungi Google, pengguna-pengguna kami dan orang ramai
Kami menggunakan data untuk memastikan pengguna lebih selamat dalam talian, seperti mengesan dan mencegah penipuan
Bagaimanakah Google menggunakan data untuk memeribadikan sesuatu?
Kami menggunakan maklumat yang kami kumpulkan untuk menyesuaikan apl dan laman kami kepada anda, contohnya:
- Syor untuk video yang mungkin anda suka
- Petua keselamatan yang disesuaikan dengan cara anda menggunakan perkhidmatan Google (lihat Pemeriksaan Keselamatan)
Kami juga menggunakan data untuk memeribadikan iklan kecuali dalam keadaan seperti apabila tetapan dimatikan atau untuk umur tertentu.
Adakah Google memeribadikan iklan yang saya lihat?
Kami cuba menjadikan iklan yang kami tunjukkan berguna sebaik yang mungkin. Akan tetapi kami tidak memeribadikan iklan untuk umur tertentu atau untuk pengguna yang mematikan Pemeribadian iklan.
Kami masih boleh menjadikan iklan berguna walaupun tanpa memeribadikan iklan itu. Contohnya, jika anda melihat halaman hasil carian untuk “kasut baharu”, anda mungkin melihat iklan daripada syarikat kasut. Iklan boleh berdasarkan faktor umum seperti waktu, lokasi umum dan kandungan halaman yang anda lihat.
Kawalan di tangan anda
Bagaimanakah saya boleh menentukan maklumat yang disimpan oleh Google pada akaun saya?
Semasa anda menggunakan perkhidmatan Google, seperti Photos, terdapat tetapan yang membolehkan anda menentukan perkara seperti sama ada anda mahu membuat sandaran dan menyegerakkan foto anda atau tidak.
Terdapat juga tetapan yang membolehkan anda menentukan sama ada maklumat tentang aktiviti anda pada perkhidmatan Google disimpan sebagai sejarah pada Google Account anda atau tidak dan sama ada perkhidmatan Google boleh menggunakan maklumat dalam Google Account anda atau tidak untuk memeribadikan pengalaman anda.
Syor yang Diperibadikan dalam perkhidmatan Search
Membolehkan anda memilih sama ada perkhidmatan Search, seperti Search, Maps, Shopping, Hotels, Flights, Translate dan News, boleh memberi anda syor yang diperibadikan atau tidak berdasarkan maklumat dalam Google Account anda, seperti maklumat profil anda dan sejarah yang disimpan. Sebagai contoh, perkhidmatan Search boleh menggunakan maklumat tersebut untuk memberikan respons AI yang disesuaikan dengan minat anda.
Search Services History
Menyimpan aktiviti anda pada perkhidmatan Search, seperti carian anda dan maklumat yang berkaitan seperti lokasi umum anda. Aktiviti anda digunakan untuk menyesuaikan pengalaman anda pada perkhidmatan Search. Sebagai contoh, apabila anda mula menaip, anda boleh melihat carian yang lalu sebagai cadangan. Google juga menggunakan data Sejarah Perkhidmatan Carian anda untuk meningkatkan perkhidmatan dan teknologi Google, termasuk model AI dan untuk melindungi Google, pengguna Google dan orang awam.
Pemeribadian Play
Membolehkan anda memilih sama ada Google Play boleh menggunakan maklumat dalam Google Account anda atau tidak, seperti item yang anda beli dan muat turun daripada Play Store, untuk menjadikan pengalaman anda lebih diperibadikan. Sebagai contoh, Play boleh belajar daripada apl yang anda gunakan untuk mengesyorkan apl yang lebih baik kepada anda.
Sejarah Play
Menyimpan aktiviti Play anda, seperti apl yang anda buka pada peranti anda, pada Google Account anda. Aktiviti ini boleh digunakan untuk menyesuaikan pengalaman anda merentas perkhidmatan Google, seperti membantu anda menemukan apl yang anda cari dengan lebih pantas.
Aktiviti Web & Apl
Menyimpan aktiviti anda daripada sesetengah laman dan apl Google, seperti Google TV dan menyertakan maklumat yang berkaitan seperti lokasi. Ciri ini turut menyimpan sejarah Chrome dan aktiviti yang disegerakkan daripada laman, apl dan peranti yang menggunakan perkhidmatan Google. Aktiviti anda digunakan untuk memberi anda syor yang lebih baik dan pengalaman yang lebih diperibadikan dalam perkhidmatan Google.
Sejarah YouTube
Menyimpan video yang anda tonton dan perkara yang anda cari apabila anda menggunakan YouTube. Sejarah YouTube anda digunakan untuk melakukan perkara seperti memberi anda syor yang lebih baik dan membantu anda menyambung semula dari tempat anda berhenti.
Aktiviti Apl Gemini
Membolehkan anda memilih sama ada Google boleh menggunakan aktiviti Gemini anda atau tidak, seperti sembang anda dan perkara yang anda kongsi dengan Gemini (seperti fail dan foto), untuk meningkatkan perkhidmatan Google, termasuk model AI. Aktiviti Apl Gemini anda juga digunakan untuk melakukan perkara seperti membolehkan anda menyambung semula sembang yang anda tinggalkan pada bila-bila masa.
Bagaimanakah cara memadamkan data saya?
Anda boleh memadamkan data yang disimpan dalam Google Account anda. Data yang anda pilih untuk dipadamkan secara kekal dialih keluar daripada sistem kami. Kami menjalankan proses yang teliti untuk memastikan data ini dialih keluar sepenuhnya daripada pelayan kami atau disimpan hanya dalam bentuk yang tidak dapat dikaitkan dengan anda.
Lawati Aktiviti Saya untuk menyemak aktiviti yang disimpan dalam Google Account anda, seperti gesaan yang telah anda masukkan dan perkara yang telah anda cari, baca dan tonton. Anda boleh memadamkan bahagian aktiviti tertentu atau semua aktiviti anda dalam jangka masa tertentu.
Kini anda boleh memilih supaya aktiviti anda dipadamkan secara automatik.
Bagaimanakah cara memuat turun kandungan saya?
Kandungan anda merangkumi perkara seperti e-mel, foto, video, dokumen, helaian, ulasan, kenalan dan acara kalendar.
Lawati Muat turun data anda untuk membuat arkib kandungan anda — sama ada untuk menyandarkan atau membawa data tersebut ke syarikat lain jika anda mahu mencuba perkhidmatan yang lain.
Apakah kawalan yang saya ada semasa log keluar?
Anda mempunyai kawalan yang membolehkan anda memilih cara menggunakan Google, walaupun anda telah log keluar. Setelah anda log keluar, lawati g.co/privacytools untuk menukar tetapan ini:
Penyesuaian carian
Menggunakan carian Google anda daripada penyemak imbas ini untuk mendapatkan hasil carian dan syor yang lebih berkaitan.
Carian YouTube dan Sejarah Tontonan
Menggunakan aktiviti anda pada YouTube, seperti video yang anda tonton dan perkara yang anda cari, untuk memeribadikan YouTube untuk anda.
Anda juga boleh menyekat sebahagian atau semua kuki dalam penyemak imbas anda tetapi tindakan ini boleh menyebabkan ciri tertentu merentas web berhenti berfungsi. Misalnya, banyak laman web memerlukan kuki dihidupkan apabila anda mahu log masuk.
Pengguna yang log keluar juga boleh memilih sama ada mereka mahu melihat iklan yang diperibadikan atau tidak, walaupun kami tidak memeribadikan iklan untuk umur tertentu.
