Cara Google menggunakan kuki

Halaman ini menerangkan jenis kuki dan teknologi lain yang digunakan oleh Google. Halaman ini juga menerangkan cara Google dan rakan kongsi kami menggunakan kuki dalam pengiklanan.

Kuki merupakan sebahagian kecil teks yang dihantar ke penyemak imbas anda oleh laman web yang anda lawati. Kuki ini membantu laman web mengingati maklumat tentang lawatan anda, yang boleh memudahkan anda melawati laman itu lagi dan menjadikan laman lebih berguna kepada anda. Teknologi lain, termasuk pengecam unik yang digunakan untuk mengecam penyemak imbas, apl atau peranti, piksel dan storan setempat, juga boleh digunakan untuk tujuan ini. Kuki dan teknologi lain seperti yang diterangkan pada seluruh halaman ini boleh digunakan untuk tujuan yang diterangkan di bawah.

Lihat Dasar Privasi untuk mengetahui cara kami melindungi privasi anda semasa kami menggunakan kuki dan maklumat lain.

Jenis kuki dan teknologi lain yang digunakan oleh Google

Sesetengah atau semua kuki atau teknologi lain yang diterangkan di bawah mungkin disimpan dalam penyemak imbas, apl atau peranti anda. Untuk mengurus cara kuki digunakan, termasuk menolak penggunaan kuki tertentu, anda boleh melawati g.co/privacytools. Anda boleh mengurus kuki dalam penyemak imbas anda (walaupun penyemak imbas untuk peranti mudah alih mungkin tidak menawarkan keterlihatan ini). Teknologi lain yang digunakan untuk mengenal pasti apl dan peranti boleh diurus dalam tetapan peranti anda atau dalam tetapan apl.

Kefungsian

Kuki dan teknologi lain yang digunakan untuk kefungsian membenarkan anda mengakses ciri yang penting kepada perkhidmatan. Perkara yang dianggap penting kepada perkhidmatan termasuk pilihan, seperti pilihan bahasa anda, maklumat berkaitan sesi anda, seperti kandungan troli beli-belah dan pengoptimuman produk yang membantu kami mengekalkan dan meningkatkan perkhidmatan tersebut.

Sesetengah kuki dan teknologi lain digunakan untuk mengekalkan pilihan anda. Contohnya, kebanyakan orang yang menggunakan perkhidmatan Google mempunyai kuki yang dipanggil ‘NID’ atau ‘ENID’ dalam penyemak imbas mereka, bergantung pada pilihan kuki mereka. Kuki ini digunakan untuk mengingati pilihan anda dan maklumat lain, seperti bahasa pilihan anda, bilangan hasil carian yang anda pilih untuk ditunjukkan pada halaman hasil carian (contohnya, 10 atau 20) dan sama ada anda mahu menghidupkan penapis SafeSearch Google atau tidak. Setiap kuki ‘NID’ tamat tempoh 6 bulan dari tarikh penggunaan terakhir yang dibuat oleh pengguna, sementara kuki ‘ENID’ sah selama 13 bulan. Kuki yang dipanggil ‘VISITOR_INFO1_LIVE’ dan ‘YEC’ mempunyai tujuan yang serupa untuk YouTube dan turut digunakan untuk mengesan dan menyelesaikan masalah berhubung perkhidmatan tersebut. Kuki ini masing-masing sah selama 6 bulan dan 13 bulan.

Kuki dan teknologi lain digunakan untuk mengekalkan dan meningkatkan pengalaman anda semasa sesi tertentu. Contohnya, YouTube menggunakan kuki ‘PREF’ untuk menyimpan maklumat seperti konfigurasi halaman pilihan dan pilihan main balik anda seperti pilihan automain, rombak kandungan dan saiz pemain yang eksplisit. Untuk YouTube Music, pilihan ini termasuk kelantangan, mod ulang dan automain. Kuki ini tamat tempoh 8 bulan dari tarikh penggunaan terakhir yang dibuat oleh pengguna. Kuki ‘pm_sess’ turut membantu kami mengekalkan sesi penyemakan imbas anda dan sah selama 30 minit.

Kuki dan teknologi lain boleh juga digunakan untuk meningkatkan prestasi perkhidmatan Google. Contohnya, kuki ‘CGIC’ meningkatkan penyampaian hasil carian dengan melengkapkan pertanyaan carian secara automatik berdasarkan input awal pengguna. Kuki ini sah selama 6 bulan.

Google menggunakan kuki ‘CONSENT’, yang sah selama 2 tahun, untuk menyimpan keadaan pengguna berhubung dengan pilihan kuki mereka. Kuki lain, ‘SOCS’, sah selama 13 bulan dan turut digunakan untuk menyimpan keadaan pengguna berhubung dengan pilihan kuki mereka.

Keselamatan

Kuki dan teknologi lain yang digunakan untuk keselamatan membantu kami mengesahkan pengguna, menghalang penipuan dan melindungi anda semasa anda berinteraksi dengan perkhidmatan.

Kuki dan teknologi lain yang digunakan untuk mengesahkan pengguna membantu kami memastikan bahawa hanya pemilik sebenar sesebuah akaun boleh mengakses akaun itu. Sebagai contoh, kuki yang dipanggil 'SID' dan 'HSID' mengandungi rekod ID Google Account pengguna dan masa log masuk terbaharu yang ditandatangani secara digital dan disulitkan. Gabungan kuki ini membolehkan Google menyekat pelbagai jenis serangan, seperti percubaan untuk mencuri kandungan borang yang diserahkan dalam perkhidmatan Google.

Sesetengah kuki dan teknologi lain digunakan untuk menghalang spam, penipuan dan penyalahgunaan. Contohnya, kuki ‘pm_sess’, ‘YSC’ dan ‘AEC’ memastikan bahawa permintaan dalam sesi penyemakan imbas dibuat oleh pengguna dan bukannya oleh laman lain. Kuki ini menghalang laman hasad daripada bertindak bagi pihak pengguna tanpa pengetahuan pengguna itu. Kuki ‘pm_sess’ sah selama 30 minit, sementara kuki ‘AEC’ sah selama 6 bulan. Kuki ‘YSC’ sah untuk tempoh sesi penyemakan imbas pengguna.

Analitis

Kuki dan teknologi lain yang digunakan untuk analitis membantu kami mengumpulkan data yang membenarkan perkhidmatan memahami cara anda berinteraksi dengan perkhidmatan tertentu. Cerapan ini membolehkan perkhidmatan menambah baik kandungan dan juga membina ciri yang lebih baik, yang meningkatkan pengalaman anda.

Sesetengah kuki dan teknologi lain membantu laman dan apl memahami cara pelawat mereka berinteraksi dengan perkhidmatan mereka. Contohnya, Google Analytics menggunakan satu set kuki untuk mengumpulkan maklumat dan melaporkan perangkaan penggunaan laman kepada Google tanpa mengenal pasti pelawat individu secara peribadi. ‘_ga’, iaitu kuki utama yang digunakan oleh Google Analytics, membolehkan perkhidmatan membezakan seorang pelawat daripada pelawat yang lain dan sah selama 2 tahun. Sebarang laman yang melaksanakan Google Analytics, termasuk perkhidmatan Google, menggunakan kuki ‘_ga’. Setiap kuki ‘_ga’ adalah unik kepada sifat tertentu, jadi kuki ini tidak boleh digunakan untuk menjejaki pengguna atau penyemak imbas tertentu merentas laman web yang tidak berkaitan.

Perkhidmatan Google turut menggunakan kuki ‘NID’ dan ‘ENID’ pada Google Search, dan kuki ‘VISITOR_INFO1_LIVE’ dan ‘YEC’ pada YouTube, untuk tujuan analitis.

Pengiklanan

Google menggunakan kuki untuk pengiklanan, termasuk menyediakan dan memaparkan iklan, memeribadikan iklan (bergantung pada tetapan anda di myadcenter.google.com dan adssettings.google.com/partnerads), mengehadkan kekerapan iklan ditunjukkan kepada pengguna, meredamkan iklan yang telah anda pilih untuk tidak ditunjukkan serta mengukur keberkesanan iklan.

Kuki ‘NID’ digunakan untuk menunjukkan iklan Google dalam perkhidmatan Google untuk pengguna yang telah log keluar, manakala kuki ‘ANID’ dan ‘IDE’ digunakan untuk menunjukkan iklan Google pada laman bukan Google. Jika anda telah mendayakan iklan diperibadikan, kuki ‘ANID’ digunakan untuk mengingati tetapan ini dan sah selama 13 bulan di Kawasan Ekonomi Eropah (EEA), Switzerland dan United Kingdom (UK), serta 24 bulan di tempat lain. Jika anda telah mematikan iklan diperibadikan, kuki ‘ANID’ digunakan untuk menyimpan tetapan itu hingga 2030. Kuki ‘NID’ tamat tempoh 6 bulan dari tarikh penggunaan terakhir yang dibuat oleh pengguna. Kuki ‘IDE’ sah selama 13 bulan di Kawasan Ekonomi Eropah (EEA), Switzerland dan United Kingdom (UK), serta 24 bulan di tempat lain.

Bergantung pada tetapan iklan anda, perkhidmatan Google yang lain seperti YouTube juga boleh menggunakan kuki ini dan kuki serta teknologi lain, seperti kuki ‘VISITOR_INFO1_LIVE’, untuk pengiklanan.

Sesetengah kuki dan teknologi lain yang digunakan untuk pengiklanan adalah untuk pengguna yang log masuk untuk menggunakan perkhidmatan Google. Contohnya, kuki ‘DSID’ digunakan untuk mengenal pasti pengguna yang telah log masuk pada laman bukan Google dan mengingati sama ada pengguna telah memberikan persetujuan tentang pemeribadian iklan atau tidak. Kuki ini sah selama 2 minggu.

Melalui platform pengiklanan Google, perniagaan boleh menyiarkan iklan dalam perkhidmatan Google serta pada laman bukan Google. Sesetengah kuki menyokong Google menunjukkan iklan pada laman pihak ketiga dan telah ditetapkan dalam domain laman web yang anda lawati. Contohnya, kuki ‘_gads’ membolehkan laman menunjukkan iklan Google. Kuki yang bermula dengan ‘_gac_’ berasal daripada Google Analytics dan digunakan oleh pengiklan untuk mengukur aktiviti pengguna dan prestasi kempen pengiklanan mereka. Kuki ‘_gads’ sah selama 13 bulan manakala kuki ‘_gac_’ sah selama 90 hari.

Sesetengah kuki dan teknologi lain digunakan untuk mengukur prestasi iklan dan kempen serta kadar penukaran untuk iklan Google pada laman yang anda lawati. Contohnya, kuki yang bermula dengan ‘_gcl_’ lazimnya digunakan untuk membantu pengiklan menentukan kekerapan pengguna yang mengklik iklan mereka kemudiannya bertindak pada laman web mereka, seperti membuat pembelian. Kuki yang digunakan untuk mengukur kadar penukaran tidak digunakan untuk memeribadikan iklan. Kuki ‘_gcl_’ sah selama 90 hari.

Lihat maklumat lanjut tentang kuki yang digunakan untuk pengiklanan di sini.

Pemeribadian

Kuki dan teknologi lain yang digunakan untuk pemeribadian meningkatkan pengalaman anda dengan memberikan kandungan dan ciri yang diperibadikan, bergantung pada tetapan anda di g.co/privacytools atau tetapan apl dan peranti anda.

Kandungan dan ciri yang diperibadikan termasuk perkara seperti hasil carian dan syor yang lebih berkaitan, halaman utama YouTube yang disesuaikan serta iklan yang disesuaikan dengan minat anda. Contohnya, kuki ‘VISITOR_INFO1_LIVE’ mungkin mendayakan syor diperibadikan pada YouTube berdasarkan tontonan dan carian lalu. Kuki ‘NID’ pula membolehkan ciri autolengkap yang diperibadikan dalam Search semasa anda menaip istilah carian. Kuki ini tamat tempoh 6 bulan dari tarikh penggunaan terakhir yang dibuat oleh pengguna. Kuki pemeribadian lain, ‘UULE’, menghantar maklumat lokasi tepat daripada penyemak imbas anda kepada pelayan Google supaya Google dapat menunjuki anda hasil carian yang berkaitan dengan lokasi anda. Penggunaan kuki ini bergantung pada tetapan penyemak imbas anda dan sama ada anda telah memilih untuk menghidupkan lokasi untuk penyemak imbas anda atau tidak. Kuki ‘UULE’ sah hingga 6 jam.

Kandungan dan ciri yang tidak diperibadikan berbeza daripada kandungan dan ciri yang diperibadikan kerana kandungan dan ciri ini dipengaruhi oleh perkara seperti kandungan yang anda lihat pada masa ini, carian Google semasa anda dan lokasi umum anda.

Mengurus kuki dalam penyemak imbas anda

Kebanyakan penyemak imbas membenarkan anda mengurus cara kuki ditetapkan dan digunakan sambil anda menyemak imbas dan mengosongkan kuki dan data semakan imbas Selain itu, penyemak imbas anda mungkin mempunyai tetapan yang membenarkan anda mengurus kuki mengikut dasar laman demi laman. Contohnya, tetapan Google Chrome di chrome://settings/cookies membenarkan anda memadamkan kuki yang sedia ada, membenarkan atau menyekat semua kuki dan menetapkan pilihan kuki untuk laman web. Google Chrome turut menawarkan mod Inkognito, yang memadamkan sejarah penyemakan imbas anda dan mengosongkan kuki pada peranti anda setelah anda menutup tetingkap Inkognito.

Mengurus teknologi lain dalam apl dan peranti anda

Kebanyakan peranti mudah alih dan aplikasi membenarkan anda mengurus cara teknologi lain, seperti pengecam unik yang digunakan untuk mengecam penyemak imbas, apl atau peranti, disediakan dan digunakan. Contohnya, ID Pengiklanan pada peranti Android atau Pengecam Pengiklanan Apple boleh diurus dalam tetapan peranti anda, sementara pengecam khusus apl biasanya boleh diurus dalam tetapan apl.

Apl Google
Menu utama