Cara Google menggunakan maklumat lokasi

Mengapakah Google menggunakan maklumat lokasi?

Dasar Privasi Google menerangkan cara kami memproses maklumat apabila anda menggunakan produk dan perkhidmatan Google, termasuk maklumat lokasi. Halaman ini menyediakan maklumat tambahan tentang maklumat lokasi yang kami kumpulkan dan cara anda dapat mengawal maklumat tersebut.

Usaha memberikan pengalaman yang berguna dan bermakna merupakan teras bagi perkara yang dilakukan oleh Google dan maklumat lokasi memainkan peranan penting dalam melakukan hal itu. Daripada arah memandu, kepada memastikan hasil carian anda merangkumi perkara berdekatan anda, hinggalah kepada menunjukkan waktu restoran biasanya sibuk, lokasi dapat menjadikan pengalaman anda di seluruh Google lebih berkaitan dan berguna. Maklumat lokasi juga membantu kefungsian beberapa produk teras, seperti menyediakan tapak web dalam bahasa yang betul atau membantu untuk memastikan perkhidmatan Google selamat.

Bagaimanakah Google mengetahui lokasi saya?

Bergantung pada produk yang anda gunakan dan tetapan yang anda pilih, anda mungkin memberi Google pelbagai jenis maklumat lokasi yang penting untuk memastikan sesetengah perkhidmatan berfungsi dan menjadikan yang lain lebih berguna bagi anda. Lokasi boleh diambil daripada isyarat masa nyata, seperti alamat IP atau lokasi peranti anda dan juga aktiviti yang lalu di tapak dan perkhidmatan Google untuk menyesuaikan pengalaman untuk konteks anda. Berikut ialah cara utama kami boleh mendapatkan maklumat tentang lokasi anda.

Daripada alamat IP sambungan Internet anda

Alamat IP (juga dipanggil alamat Internet) diberikan kepada peranti anda oleh Penyedia Perkhidmatan Internet anda dan merupakan syarat untuk menggunakan Internet. Alamat IP digunakan untuk membuat sambungan antara peranti anda dengan tapak web dan perkhidmatan yang anda gunakan. Alamat IP secara kasarnya ditentukan berdasarkan geografi. Ini bermaksud bahawa mana-mana tapak web yang anda gunakan, termasuk google.com boleh mendapatkan maklumat tentang kawasan umum anda.

Seperti kebanyakan perkhidmatan Internet lain, Google boleh menggunakan maklumat tentang kawasan umum tempat anda berada untuk menyediakan beberapa perkhidmatan asas. Penganggaran kawasan umum tempat anda berada bermaksud Google dapat memberi anda hasil yang berkaitan dan menjaga keselamatan akaun anda dengan mengesan aktiviti yang luar biasa seperti log masuk dari bandar baharu.

Daripada aktiviti anda yang lalu

Semasa anda menggunakan perkhidmatan kami, kami mungkin menyimpulkan bahawa anda berminat dengan suatu tempat walaupun peranti anda tidak memberitahu kami dengan tepat tempat anda berada. Sebagai contoh, jika anda mencari “Kafe di Parit Buntar”, kami mungkin menganggap bahawa anda ingin melihat tempat berhampiran Parit Buntar dan menunjukkan hasil carian kafe di sana kepada anda. Beberapa item daripada aktiviti anda, seperti carian sebelumnya, mungkin turut merangkumi kawasan umum tempat anda berada pada masa carian. Bergantung pada tetapan anda, jenis maklumat ini mungkin disimpan dalam akaun anda dan digunakan sebagai input untuk menentukan sama ada anda masih berada di Parit Buntar apabila anda melakukan lebih banyak carian selepas itu.

Dari tempat berlabel anda

Anda juga mungkin memilih untuk memberitahu kami tempat yang penting bagi anda, seperti rumah atau tempat kerja anda. Maklumat ini dapat membantu anda melakukan perkara seperti mencari arah lebih cepat dengan mencari alamat rumah dan tempat kerja anda secara automatik. Maklumat ini juga boleh digunakan untuk mempengaruhi hasil carian yang kami berikan kepada anda. Ketahui lebih lanjut

Daripada peranti anda

Kebanyakan peranti seperti telefon atau komputer, boleh menentukan lokasinya yang tepat. Anda boleh membenarkan Google dan apl lain untuk memberi anda ciri berguna berdasarkan lokasi peranti anda. Sebagai contoh, jika anda terlambat untuk bertemu rakan anda, anda mungkin mahu menggunakan apl navigasi untuk mengetahui laluan paling cepat untuk sampai ke destinasi anda. Untuk mendapatkan arahan selekoh demi selekoh, anda mungkin perlu menghidupkan lokasi peranti anda dan memberi apl kebenaran untuk mengakses lokasi itu. Atau bagi sesetengah carian seperti "kedai kopi", "perhentian bas" atau "atm", hasil carian biasanya akan lebih bermanfaat apabila lokasi tepat tersedia.

Pada peranti Android anda, jika anda memilih untuk menghidupkan lokasi peranti anda, anda boleh menggunakan ciri seperti navigasi, memberikan apl akses kepada lokasi semasa anda atau mencari telefon anda. Anda juga boleh memilih apl yang mempunyai kebenaran untuk menggunakan lokasi peranti anda dengan menggunakan kawalan mudah yang membolehkan anda menghidupkan atau mematikan kebenaran untuk setiap apl. Pada Android, anda dapat mengetahui waktu apl membuat permintaan untuk menggunakan lokasi berasaskan GPS telefon anda iaitu apabila bahagian atas skrin anda menunjukkan Lokasi. Ketahui lebih lanjut

Perkhidmatan Lokasi Google

Pada kebanyakan peranti Android, Google, sebagai penyedia lokasi rangkaian, menyediakan perkhidmatan lokasi yang dipanggil Perkhidmatan Lokasi Google (GLS), yang dikenali sebagai Ketepatan Lokasi Google dalam Android 9 ke atas. Perkhidmatan ini bertujuan untuk menyediakan lokasi peranti yang lebih tepat dan meningkatkan ketepatan lokasi secara umumnya. Kebanyakan telefon mudah alih dilengkapi dengan GPS, yang menggunakan isyarat daripada satelit untuk menentukan lokasi peranti – walau bagaimanapun, dengan Perkhidmatan Lokasi Google, maklumat tambahan daripada Wi-Fi berdekatan, rangkaian mudah alih dan penderia peranti boleh dikumpulkan untuk menentukan lokasi peranti anda. Google melakukan perkara ini dengan mengumpulkan data lokasi daripada peranti anda secara berkala dan menggunakan data itu secara awanama untuk meningkatkan ketepatan lokasi.

Anda boleh melumpuhkan Perkhidmatan Lokasi Google pada bila-bila masa dalam tetapan lokasi peranti anda. Lokasi peranti anda akan terus berfungsi walaupun GLS dimatikan, tetapi peranti hanya bergantung pada GPS untuk menganggarkan lokasi peranti untuk apl dengan kebenaran yang diperlukan. Perkhidmatan Lokasi Google adalah berbeza daripada tetapan lokasi peranti anda. Ketahui lebih lanjut

Tetapan dan kebenaran pada Android mengawal sama ada penderia peranti anda (seperti GPS) atau lokasi berdasarkan rangkaian (seperti GLS) digunakan untuk menentukan lokasi anda dan apl yang mempunyai akses kepada lokasi tersebut. Hal ini tidak mempengaruhi cara tapak web dan apl mungkin menganggarkan lokasi anda dengan cara lain, seperti daripada Alamat IP anda.

Bagaimanakah lokasi disimpan dalam Akaun Google saya?

Bergantung pada produk dan perkhidmatan Google yang anda gunakan dan tetapan anda, Google mungkin menyimpan maklumat lokasi ke Akaun Google anda. Dua tempat paling biasa yang maklumat ini mungkin disimpan ialah Sejarah Lokasi dan Aktiviti Web & Apl.

Sejarah Lokasi Google

Jika anda ikut serta Sejarah Lokasi dan peranti anda melaporkan lokasi, lokasi tepat bagi peranti anda yang dilog masuk akan dikumpulkan dan disimpan, walaupun semasa anda tidak aktif menggunakan produk atau perkhidmatan Google. Perkara ini membantu kami membuat Garis Masa anda, iaitu tempat data Sejarah Lokasi disimpan, dan mungkin digunakan untuk memperkasa pengesyoran pada masa akan datang di Google. Anda boleh menyemak, mengedit dan memadamkan perkara yang disimpan dalam Garis Masa anda pada bila-bila masa.

Tindakan menghidupkan Sejarah Lokasi akan memberikan pengalaman yang lebih diperibadikan di seluruh Google—restoran yang dicadangkan dalam Peta Google ditentukan berdasarkan tempat makan yang pernah anda kunjungi, maklumat masa nyata tentang masa terbaik untuk bertolak dari tempat kerja atau rumah untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan album dalam Google Photos dibuat secara automatik berdasarkan tempat yang pernah anda kunjungi.

Untuk menentukan sama ada anda telah menghidupkan Sejarah Lokasi, lawati Kawalan aktiviti anda. Anda mungkin diminta untuk log masuk dan dari sana, anda boleh melihat sama ada kawalan ini dihidupkan. Walaupun anda boleh menjedakan pengumpulan data Sejarah Lokasi baharu, data Sejarah Lokasi anda yang lalu akan terus disimpan sehinggalah anda memadamkan data tersebut. Ketahui lebih lanjut

Jika anda memadamkan data Sejarah Lokasi anda, data lokasi anda yang lain mungkin masih disimpan di tempat lain—seperti dalam Aktiviti Web & Apl.

Aktiviti Web & Apl

Jika Aktiviti Web & Apl didayakan, carian dan aktiviti anda daripada beberapa perkhidmatan Google yang lain disimpan ke Akaun Google anda. Aktiviti yang disimpan ke Aktiviti Web & Apl mungkin juga termasuk maklumat lokasi. Sebagai contoh, jika anda menaip “cuaca” dalam Carian dan mendapat hasil carian cuaca berdasarkan tempat anda berada, aktiviti ini, termasuk lokasi yang digunakan untuk memberikan hasil ini, disimpan ke Aktiviti Web & Apl anda. Jika anda telah memilih untuk menghidupkan tetapan lokasi peranti anda, lokasi yang digunakan dan disimpan dengan Aktiviti Web & Apl anda boleh diambil daripada isyarat seperti alamat IP peranti, aktiviti yang lalu atau peranti anda.

Tindakan menghidupkan tetapan Aktiviti Web & Apl anda membantu kami menunjukkan hasil carian yang lebih berguna, iklan yang lebih berkaitan dan cadangan yang lebih disesuaikan–seperti apabila anda melihat hasil carian anda dicadangkan berdasarkan carian yang lalu secara automatik. Anda boleh menyemak dan memadamkan data dalam Aktiviti Web & Apl anda atau menjedakan ciri tersebut untuk Akaun Google anda. Penjedaan Aktiviti Web & Apl akan menghentikan penyimpanan carian dan aktiviti anda yang akan datang daripada perkhidmatan Google yang lain. Walaupun anda memadamkan data Aktiviti Web & Apl anda, data lokasi anda yang lain mungkin masih disimpan di tempat lain—seperti dalam Sejarah Lokasi.

Untuk menentukan sama ada anda telah menghidupkan Aktiviti Web & Apl, lawati Kawalan aktiviti anda. Anda mungkin diminta untuk log masuk dan dari sana, anda boleh melihat sama ada kawalan ini dihidupkan. Ketahui lebih lanjut

Bagaimanakah lokasi digunakan untuk menunjukkan iklan?

Iklan boleh disiarkan berdasarkan lokasi umum anda. Ini boleh termasuk lokasi yang diperoleh daripada alamat IP peranti. Bergantung pada tetapan pemperibadian iklan anda, anda juga mungkin melihat iklan berdasarkan aktiviti anda dalam Akaun Google anda. Ini termasuk aktiviti yang disimpan dalam Aktiviti Web & Apl anda, yang boleh digunakan untuk memaparkan iklan yang lebih berguna. Contoh lain adalah jika anda telah mendayakan Sejarah Lokasi dan kerap mengunjungi pusat peranginan ski, anda mungkin akan melihat iklan untuk peralatan ski semasa menonton video di YouTube selepas itu. Google juga menggunakan Sejarah Lokasi secara tanpa nama dan teragregat, untuk pengguna yang telah memilih untuk ikut serta, untuk membantu pengiklan mengukur kekerapan kempen iklan dalam talian membantu dalam mendorong trafik ke kedai atau hartanah fizikal mereka. Kami tidak berkongsi Sejarah Lokasi anda atau sebarang maklumat pengecam lain dengan pengiklan.

Anda mempunyai kawalan terhadap data yang disimpan dalam Akaun Google anda dan boleh mematikan iklan yang diperibadikan pada bila-bila masa. Apabila pemperibadian iklan dimatikan, Google tidak menggunakan data yang disimpan dalam Akaun Google anda untuk menyiarkan iklan yang lebih berkaitan kepada anda.